Anda di sini

Barisan muda Belgium siap sedia gempur Algeria di Belo Horizonte

Advertisement

BELO HORIZONTE, Brazil: Skuad muda berbakat Belgium bersedia untuk memulakan kempen Piala Dunia 2014 menentang Algeria hari ini, dengan saingan semakin menyerlah dalam padang menjelang pertemuan Kumpulan H itu.

Dilihat sebagai pasukan ‘kuda hitam’ pada kejohanan ini, skuad berbakat yang termasuk bintang Chelsea, Eden Hazard, penyerang Romelu Lukaku dan pemain pertahanan, Vincent Kompany.

Belgium belum muncul pada kejohanan besar sejak Piala Dunia 2002 di Jepun/ Korea Selatan tetapi mereka cukup menyerlah dalam kempen kelayakan dan mengintai peluang untuk menyamai pencapaian mereka melangkah ke separuh akhir pada Piala Dunia 1986 Mexico.

Satu-satu pemain yang masih bermain dari kempen 2002 ialah pemain pertahanan, Daniel van Buyten, yang berkata ada terjahan keras semasa sesi latihan menjelang perlawanan di Belo Horizonte.

“Kami biasanya berlatih secara ringan sebelum perlawanan penting supaya pemain boleh memuncak pada masa yang tepat,” kata pemain kelab Bayern Munich itu.

“Tetapi saingan dalam padang latihan menjadi tegang.”

“Semua pemain harus bersedia. Terdapat hanya 11 tempat dalam skuad dan semua orang mahu berada dalam pasukan tetapi pemain gantian harus bersedia pada bila-bila masa untuk membuat perbezaan dalam padang.”

Jurulatih Belgium, Marc Wilmots juga menyenaraikan pemain muda Manchester United, Adnan Januzaj, Marouane Fellaini dan penjaga gol Thibaut Courtois.

Lukaku, yang hanya kembali berlatih Rabu lepas setelah menjalani kecederaan buku lali semasa perlawanan persahabatan menentang Tunisia, akan mengetuai jentera serangan selepas ketiadaan Christian Benteke kerana kecederaan.

Belgium, yang turut bersama- sama Rusia dan Korea Selatan dalam kumpulan mereka, dijangka melepasi pusingan pertama tanpa masalah tetapi Kompany menggesa rakan-rakannya untuk melaksanakan tugas dalam padang.

“Kami mempunyai skuad yang muda, ia adalah kejohanan besar yang pertama mereka,” kata beliau.

“Saya fikir ia terlalu awal untuk bermimpi sampai ke kemuncak. Secara asasnya, kami boleh mengintai impian pada Euro 2016.” — AFP

Advertisement