Oleh Mahathir Haroun //
Beberapa tonggak utama Sarawak belum pasti diturunkan kerana cedera
KUCHING: Tugas getir menanti Sarawak ketika menanti kunjungan Pahang dalam saingan Liga Super 2014 di Stadium Negeri malam ini apabila bermain tanpa penj a r ing terbanyak S. Chanturu yang digantung perlawanan.
Selain Chanturu, beberapa tonggak utama seperti Ramesh Lai, Lot Abu Hassan dan Muamer Salibasic masih belum pasti dapat diturunkan kerana masih cedera.
Manakala pertahanan kental, Gabor Gyepes dan Hassan Mohammad juga tidak akan bermain untuk tempoh yang lama kerana mengalami kecederaan serius.
Tugas untuk merobek gawang skuad Tok Gajah yang dikemudikan Khairul Azhan Khalid akan digalas oleh Joseph Kalang Tie dan Ryan Griffiths.
Biarpun beraksi menentang pasukan menduduki tangga ketiga, Sarawak masih mempunyai peluang untuk menang apabila beraksi di hadapan penyokong sendiri.
Ketua jurulatihnya, Robert Alberts berkata beraksi tanpa beberapa tonggak utama pasti memberi cabaran kepada pasukannya.
Bagaimanapun, beliau optimis dengan pemain-pemain yang diturunkan akan menampilkan permainan terbaik untuk memastikan kemenangan.
“Kita bermain tanpa beberapa pemain utama yang digantung perlawanan dan cedera. Ia sudah pasti akan memberi kesukaran kepada kita.
“Saya yakin pemain-pemain yang diberi tanggungjawab mampu menggalas tugas seperti yang diharapkan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Mengenai peluang menang menentang Pahang, Alberts berkata Pahang merupakan pasukan yang kuat namun peluang Sarawak menang masih ada sekiranya pemain tidak melakukan banyak kesilapan.
“Kita memang sedar Pahang mempunyai ramai pemain berkualiti namun sekiranya kita tidak melakukan kesilapan kemenangan mampu dicapai,” katanya.
Sarawak dilihat mampu melakar kemenangan menentang Pahang malam ini memandangkan sebelum ini Sarawak mengalahkan pasukan kuat seperti Kelantan dan Terengganu di gelanggang lawan.
Saingan liga seterusnya menyaksikan Sarawak menentang Selangor di Stadium Shah Alam pada 21 Jun ini dan JDT di Stadium Negeri (25 Jun).