Anda di sini

Portugal ikrar padam kempen ‘buruk’

Advertisement

Pertemuan di Salvador hari ini mirip perlawanan pembukaan Euro 2012 yang dimenangi Jerman 1-0

SALVADOR, Brazil: Jerman akan memulakan kempen Piala Dunia hari ini dengan harapan untuk meneruskan penguasaan ke atas Portugal seperti beberapa kejohanan besar sebelum ini.

Jerman menewaskan Portugal pada Piala Dunia 2006, selain dua kejohanan Eropah terakhir dan mahu memulakan kempen Kumpulan G mereka dengan hebat dan mencipta kemenangan keempat berturut-turut ke atas lawan mereka.

Pertemuan di Salvador itu adalah mirip perlawanan pembukaan Euro 2012, di mana Jerman menang 1-0 menerusi gol Mario Gomez dalam separuh masa kedua.

Persediaan perlawanan di sini lebih tertumpu kepada sama ada bint ang Portugal, Cristiano Ronaldo, cergas diturunkan di Arena Fonte Nova selepas mengalami kecederaan lutut dan paha.

Kapten Portugal itu menyertai sesi latihan penuh pasukannya Sabtu lepas, dengan rakan sepasukan, William Carvalho dan penjaga gol, Eduardo, berkata beliau akan bermain.

Eduardo menegaskan pasukannya bersemangat untuk memadam kempen ‘buruk’ pada 2010 di mana mereka hanya sampai ke pusingan kedua selepas tewas kepada Sepanyol.

Tetapi semua perhatian kepada pemulihan segera pemain terbaik dunia itu, walaupun Ronaldo ada bermain selama 65 minit semasa perlawanan persediaan terakhir mereka ketika menewaskan Ireland 5-1.

Penyerang kelab Real Madrid itu dilihat dengan lutut berbalut semasa sesi latihan.

Tetapi seperti yang dikatakan oleh pemain pertahanan Jerman, Benedikt Hoewedes: “Perlawanan ini bukan tentang Jerman menentang Ronaldo, tetapi Jerman menentang Portugal,” katanya.

Pemain tengah Jerman, Sami Khedira mendakwa rakan sepasukannya di Real Madrid itu ada memberitahunya bahawa ia adalah masa untuk Portugal menamatkan badi ketika menentang Jerman.

Penyerang Jerman, Lukas Podolski berkata Jerman amat menghormati Ronaldo yang juga pakar tendangan percuma tetapi mereka tetap tidak berasa gentar.

“Kami sudah bersedia untuk menentang Portugal, bukannya menentang hanya seorang pemain,” kata Podolski.

“Beliau sememangnya pemain yang sangat berbahaya dan boleh menentukan permainan tetapi kami juga mempunyai peluang yang berupaya melakukan perkara yang sama. Jika kami mempamerkan aksi yang menarik, maka ia tidak penting siapa yang menjaringkan gol kemenangan,” katanya.

Persoalan kini ialah sama ada Jerman boleh mengulangi mutu bola sepak mereka empat tahun lalu apabila menamatkan saingan di tempat ketiga selepas membelasah Argentina dan England untuk ke separuh akhir.

Penjaga gol, Manuel Neuer dijangka akan diturunkan tetapi dengan sedikit kecederaan di bahu kanan sementara pemain tengah, Bastian Schweinsteiger bergelut dengan kecederaan lutut.

Khedi ra yang menghabiskan banyak masa di bangku simpanan bersama Real Madrid musim lalu kerana kecederaan, juga diragui akan diturunkan dalam kesebelasan utama.

Jurulatih Jerman, Joachim Loew hanya memiliki seorang penyerang dalam skuad, Miroslav Klose, yang hanya kurang satu gol untuk menyamai rekod 15 gol di Piala Dunia, yang dipegang oleh bekas bintang Brazil, Ronaldo.

Pemain tengah serangan, Mesut Ozil, dijangka akan memberikan ancaman utama di jentera serangan dengan Toni Kroos bakal diletakkan di posisi tengah.

Satu faktor mungki n memberikan kelebihan kepada Portugal ialah keputusan Loew meletakkan kapten pasukan, Philipp Lahm ke posisi tengah dari posisi asalnya, di pertahanan kanan.

Loew dijangka menurunkan empat pemain pertahanan tengah dengan Mats Hummels bergandingan dengan Per Mertesacker sementara Jerome Boateng dan Hoewedes akan bermain sebagai sayap pertahanan. — AFP

Advertisement