Anda di sini

Pantai Kerachut tarik penyu bertelur

Advertisement

GEORGE TOWN: Kedudukannya yang jauh dari kesibukan kota dan bangunan pencakar langit menjadikan Pantai Kerachut iaitu sebahagian Taman Negara Pulau Pinang, lokasi eksklusif pendaratan penyu di negeri ini.

Tambah membanggakan trend pendaratan penyu di situ didapati meningkat dengan 190 ekor direkod bertelur dalam tempoh 2001 hingga tahun lepas.

“Mengikut rekod, paling sedikit lapan ke 25 ekor mendarat di sini dalam tempoh setahun dengan bilangan telur yang dihasilkan antara 7,000 dan 8,000 biji,” kata Ketua Pusat Konservasi Penyu Pantai Kerachut Mansor Yobe kepada Bernama di sini.

Beliau yang ditemui selepas menyaksikan pelepasan 180 anak penyu di pantai itu, berkata daripada 10 ekor yang mendarat tujuh adalah ibu muda, sekali gus menunjukkan usaha pemuliharaan yang dilakukan selama ini berhasil.

Katanya dalam tempoh itu juga sebanyak 50,200 biji telur daripada 81,142 yang dipungut, berjaya ditetaskan menerusi proses eraman.

Mansor berkata jantina anak penyu dipengaruhi suhu pasir iaitu jika suhu 30 darjah Celcius ke atas akan menghasilkan penyu betina, manakala 26 hingga 28 darjah Celcius anak jantan.

“Jadi kita boleh kawal jantina anak penyu dengan menentukan suhu pasir.

Biasanya kita hasilkan lebih banyak anak betina dan hanya 20 hingga 30 peratus telur penyu tidak diusik dan dibiar menetas semula jadi,” katanya.

Proses eraman mengambil masa 50 hingga 70 hari.

Menurut Mansor, selain Pantai Kerachut, penyu juga dilapor mendarat di Pantai Teluk Kampi dan Teluk Ketapang juga dalam kawasan taman negara, serta Pantai Gertak Sanggul, Pasir Pandak di Teluk Kumbar dan Batu Ferringhi, namun bilangannya kecil.

Susulan itu beliau berkata bermula Ogos ini pihaknya berhasrat memperluaskan operasi ke Pantai Gertak Sanggul serta Pasir Pandak di Teluk Kumbar dengan memindahkan telur-telur penyu di situ ke pusat konservasi di Pantai Kerachut.

Beliau berkata Pantai Kerachut telah dijadikan pusat konservasi penyu sejak 1990 dan 95 peratus penyu yang datang ialah spesies Agar atau Penyu Hijau manakala selebihnya ialah Penyu Lipas.

Selain itu, Mansor berkata matlamat penubuhan pusat tersebut ialah mendidik masyarakat supaya menghargai khazanah alam berkenaan dan menyedarkan mereka betapa susahnya penyu meneruskan kelangsungan hidup sehingga dewasa.

Beliau berkata penyu biasanya akan kembali ke tempat lahirnya untuk bertelur dalam tempoh 20 tahun dan nisbah yang berjaya adalah 1000:1.

“Pengunjung kami hadkan datang waktu siang sahaja. Mereka berpeluang terlibat aktif dari proses mengenal pasti lubang tempat penyu bertelur, memindahkan telur sehinggalah tugas melepaskan anak penyu ke laut, ini supaya mereka faham dan dekat dengan penyu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Penguasa Taman Negara Pulau Pinang Zuraida Abdul Malik berkata pendaratan penyu yang sama berulang kali menunjukkan pantai-pantai yang diwartakan dalam kawasan Taman Negara Pulau Pinang masih mengekalkan landskap semula jadi.

Katanya penanaman semula pokok atau tumbuhan yang signifikan dengan habitat penyu sedikit sebanyak membantu menarik penyu untuk singgah ke pantai dan bertelur.

Orang ramai yang berminat untuk mengadakan program bersama pusat berkenaan boleh menghubungi Jabatan Perikanan Pulau Pinang di talian 04-6572777. — Bernama

Advertisement