Anda di sini

Kem kelangsungan pertingkat kemahiran peserta dalam hutan

Advertisement

Oleh Sudan Ajang //

CERIA: Peserta merakam kenangan bersama di Air Terjun Lambir, Taman Negara Bukit Lambir.

UNIT Bantuan dan Sukarelawan Bulan Sabit Merah Malaysia 57 (VAD 57) Universiti Curtin Malaysia Sarawak (Curtin Sarawak) mengadakan Kem Kelangsungan (Survival) dan Kempen Derma Darah Kebangsaan selama 72 jam sebagai salah satu aktiviti tahunan.

Seramai 57 peserta mengambil bahagian dalam acara berkenaan yang diadakan di Taman Negara Bukit Lambir, Miri.

Kem itu bagi melengkapkan peserta mengenai kemahiran kelangsungan hidup asas dan mereka ‘diputuskan’ daripada peralatan kemodenan selama 72 jam dan bergantung sepenuhnya dengan alam semula jadi dan peralatan yang terhad untuk keperluan harian.

Sepanjang kem tersebut, peserta melakukan perjalanan atau trek dalam hutan, memasak menggunakan peralatan asas, menyalakan unggun api menggunakan ranting kayu dan permainan membentuk kemahiran kelangsungan hidup.

BINA KHEMAH: Peserta mendirikan khemah semasa Kem Kelangsungan Hidup 72 jam.

Peserta juga turut didedahkan pengetahuan untuk merawat luka, lecur dan kecederaan anggota badan melalui demonstrasi bantuan kecemasan.

Peserta yang mengambil bahagian berpendapat ia membuka mata mereka untuk menghadapi cara-cara hidup di hutan seterusnya membantu mereka mengatur strategi kelangsungan hidup semasa di hutan.

Sementara itu, Kempen Derma Darah Kebangsaan anjuran bersama Curtin VAD 57 dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, Universiti Multimedia Kampus Melaka (MMU) menyaksikan 104 pelajar Curtin Sarawak dan kakitangan menderma darah kepada Unit Bank Darah Hospital Miri.

Komandan Curtin VAD 57, MMU Kampus Melaka, Lee Ren Jie berkata kempen tersebut berjaya membuka mata peserta betapa pentingnya derma darah untuk menyelamatkan nyawa orang lain.

“Melihat kepada sambutan yang begitu menggalakkan, kita akan mengadakan kempen yang sama pada September depan dengan kerjasama bank darah di Miri. Kita berharap melalui kerjasama ini dapat mempromosikan usaha Bulan Sabit Merah Malaysia menyelamatkan nyawa orang lain,” katanya.

Advertisement