Anda di sini

SUPP memecat tiga bekas wakil rakyatnya

Advertisement

KUCHING: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) semalam memecat tiga bekas wakil rakyatnya iaitu Datuk Dr Jerip Susil (ADUN) Bengoh), Ranum Mina (ADUN Opar) dan Dr Johnical Rayong Ngipa (ADUN Engkilili).

Presidennya Tan Sri Peter Chin berkata, keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) setelah kegagalan parti mendapatkan penjelasan daripada ketiga-tiga wakil rakyat itu berhubung sama ada mereka menyertai atau menyokong parti baharu, Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS).

“Kami (parti) telah menghantar tiga surat kepada tiga ADUN iaitu bekas ADUN SUPP Datuk Dr Jerip Susil, Ranum Mina dan Dr Johnichal Rayong untuk memberi penjelasan kepada kami dengan memberi tempoh 14 hari daripada tarikh surat dihantar iaitu 20 Mei lepas.

“Sehingga kini kami tidak menerima sebarang maklum balas daripada mereka dan disebabkan kegagalan mereka berbuat demikian hasil mesyuarat CWC hari ini kami memutuskan mereka bertiga dipecat daripada parti,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan CWC di Ibu Pejabat SUPP di sini, semalam.

Chin menegaskan, surat yang dihantar itu bagi mendapatkan penjelasan kerana sebelum ini parti mempunyai bukti jelas bahawa mereka menyokong atau menyertai TERAS kerana mereka berada pada sidang media mengenai TERAS di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 15 Mei lepas.

“Keputusan juga diambil kerana selepas itu mereka pernah membuat kenyataan pada sidang media dan CWC memutuskan untuk memecat mereka.

“Mereka adalah wakil rakyat yang dipecat parti selepas bekas ahli SUPP Dato Sri Wong Soon Koh yang disinggirkan daripada parti oleh CWC pada mesyuarat sebelum ini iaitu 31 Mei lepas,” tegas beliau.

Sementara itu pada sidang media yang sama Chin turut memberitahu, terdapat tiga cawangan parti sehingga kini belum mengemukakan senarai kutipan yuran ahli kepada parti pusat untuk dikemas kini sebelum Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali (TDC) akan datang.

Ia kata beliau bagi memudahkan parti pusat menyemak sama ada mereka benar-benar ahli atau tidak yang akan menjadi penanda aras sama ada mereka layak menyertai pemilihan atau tidak.

“Tiga cawangan terbabit adalah Belaga, Kemena serta Sibu dan apabila mereka tidak menghantar senarai maka ahli-ahli cawangan terbabit tidak boleh terlibat dalam pemilihan akan datang,” katanya.

Chin memberitahu, pemilihan pada peringkat cawangan dan cawangan kecil SUPP akan diadakan bermula pada 15 Julai hingga 3 Ogos 2014 dan sehingga kini parti mempunyai 43 cawangan.

“Selain itu bagi memastikan pemilihan dijalankan dengan baik di peringkat cawangan, kami mengeluarkan satu panduan sebanyak 14 perenggan agar pemilihan dijalankan mengikut perlembagaan.

“Ia bagi memastikan pemilihan dijalankan dengan lancar dan tidak ada sesiapa akan mempersoalkan tentang pemilihan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) lagi seperti yang berlaku pada TDC pada tahun 2011,” tegasnya.

Advertisement