Anda di sini

Perancis tidak ingin malang 2010 berulang

Advertisement

PORTO ALEGRE, Brazil: Perancis memulakan kempen mereka untuk melupakan kesengsaraan daripada persembahan yang memalukan di Piala Dunia pada 2010 apabila mereka memulakan kempen mereka di Brazil dengan menentang Honduras pada jam pagi esok (awal Isnin).

Juara pada 1998, pasukan Les Bleus hampir mengalami satu lagi penyingkiran yang memalukan dalam perlawanan playoff mereka menentang Ukraine tetapi layak selepas mereka berjaya mengatasi defisit 2-0 pada pusingan pertama untuk mara dengan agregat 3-2.

Bagaimanapun kebangkitan itu telah menandakan titik perubahan sejak Didier Deschamps menjadi pengurus yang menimbulkan rasa optimis mengenai sekumpulan bintang muda dari negara mereka dan ia telah didorong oleh kemenangan besar 4-0 dan 8-0 masing-masing ke atas Norway dan dalam dua perlawanan persahabatan menjelang kejohanan.

“Kami telah menempuh fasa pembangunan semula kerana orang masih mengaitkan pasukan dengan Knysna di Afrika Selatan (ketika pemain melancarkan mogok) dan cara kita tersingkir dari kejohanan itu,” kata penyerang Olivier Giroud dalam FIFA.com.

“Rakyat Perancis belum lupa apa yang berlaku dan kami akan menunjukkan kepada mereka bahawa kami dapat terus mengibarkan bendera dengan tinggi di Piala Dunia.”

“Kebanyakan pemain tidak ada dalam skuad itu, dan kami lebih suka melihat ke masa hadapan dan bukannya masa silam. Apa yang kami capai sejak beberapa bulan lalu amat menggalakkan. Sokongan kepada pasukan telah meningkat yang ternyata timbul daripada siri keputusan kami yang baik dan perlawanan kelayakan kami menentang Ukraine.”

Giroud akan bersaing dengan Antoine Griezmann untuk tempat dalam barisan kesebelasan utama Deschamps bagi menggantikan Franck Ribery yang tidak dapat menyertai kejohanan akibat kecederaan belakang.

“Franck mengalami masalah belakang selama berminggu- minggu dan tidak banyak berlatih bersama kami. Ia tidak begitu mengejutkan,” tambah Giroud.

“Kami terpaksa mengetepikan semua itu; ia sudah pun cukup sukar bagi dirinya. Malangnya dia tidak akan menyertai kami tetapi kami akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan dia bangga dengan permainan kami.”

Griezmann telah menyusuli musim yang meyakinkan bersama Real Sociedad dalam La Liga dengan tiga gol dalam empat penampilan sejak dia julung kali bermain untuk pasukan dewasa Perancis pada Mac lalu.

Bagaimanapun Giroud, yang menjaringkan 22 gol untuk Arsenal pada musim ini, percaya dia sewajarnya memulakan perlawanan sebagai penyerang tengah manakala pemain Real Madrid, Karim Benzema, mengisi tempat biasa Ribery di sebelah kiri.

“Saya gembira dengan cara saya bermain dalam perlawanan persiapan. Saya rasa cergas dan sangat positif. Saya berharap untuk kerap bermain.”

Honduras dijangka akan memberi ujian pertama yang sangat lasak bagi anak-anak buah Deschamps.

Pasukan Amerika Tengah itu terpaksa bermain dengan 10 orang dalam keputusan seri tanpa jaringan dalam perlawanan persahabatan terakhir mereka menentang England pada hujung minggu lepas dalam perlawanan di mana Honduras, kata Deschamps, menunjukkan “kecenderungan bagi pertempuran fizikal”.

Bagaimanapun penyerang Jerry Bengston percaya mereka mampu untuk bukan sahaja mencabar Perancis tetapi juga memenangi perlawanan.

“Kami sangat positif. Sudah tentulah kami dapat menewaskan Perancis, ini adalah bola sepak dan apa sahaja boleh berlaku, tetapi kami sedar kami perlu bermain dengan sangat baik,” kata pemain berusia 27 tahun itu. — AFP

Advertisement