Anda di sini

KLIHF 2014 tarik ribuan pengunjung ke PWTC

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pameran Hijab Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIHF) 2014 selama tiga hari, yang bermula kelmarin, berjaya menarik ribuan pengunjung, yang rata-ratanya memuji usaha untuk memartabatkan lagi fesyen muslimah di negara ini.

Tinjauan Bernama di venue pameran di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, mendapati ramai pengunjung berpendapat usaha itu juga mampu meletakkan Malaysia sebagai hab fesyen muslimah di persada antarabangsa.

Perunding motivasi, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad, berkata penganjuran pameran itu juga dapat mengumpulkan ramai usahawan dan syarikat fesyen muslimahdi bawah satu bumbung.

“Selain itu, pameran ini juga dapat memperkenalkan kepada orang ramai tentang trend pemakaian fesyen  muslimah yang terkini di samping memartabatkan fesyen muslimah.

“Ini juga merupakan satu usaha yang mampu membawa nama fesyen muslimah dan Malaysia ke peringkat  antarabangsa terutama sekali apabila kita lihat ada penyertaan daripada negara luar dan semestinya ia patut diadakan lagi di masa akan datang,” katanya ketika ditemui, di sini, kelmarin.

Salah seorang pengunjung, Azwina Aditiya, 31, berkata beliau gembira dengan penganjuran KLIHF yang dilihat sebagai persaingan yang sihat antara usahawan Bumiputera dalam menyediakan fesyen muslimah yang moden serta memenuhi keperluan pengguna.

“Kita boleh dapat banyak pilihan fesyen dan gaya muslimah terkini tetapi pada  masa yang sama harga yang ditawarkan oleh peniaga di sini agak tinggi,” katanya.

Azwina berpendapat pameran itu sepatutnya menawarkan harga yang lebih  rendah supaya dapat menarik lebih ramai lagi pengunjung dari segenap golongan dan peringkat umur .

Seorang lagi pengunjung, Ismail Jaafar, 58, berpendapat pengisian slot program keagamaan di samping penjualan pakaian muslimah adalah suatu usaha yang baik.

“Program keagamaan yang diadakan memang bagus, sambil membeli-belah kita dapat tambah ilmu, namun sistem berkaitan ruang di sekitar tempat berlangsungnya KLIHF perlu dilakukan penambahbaikan,” katanya.

Pengarah Urusan KLIHF, Mona Din berkata melalui pameran itu, jenama dan bakat usahawan fesyen muslimah tempatan dapat diperkenalkan selain menggalakkan persaingan yang sihat dalam kalangan usahawan tempatan dan antarabangsa.

“Terdapat 250 gerai pameran fesyen muslimah menyertai KLIHF termasuk 50 daripada kalangan usahawan antarabangsa dengan sebahagian besar mereka dari Indonesia,” katanya. — Bernama

Advertisement