Anda di sini

Kira hari gaji ayah kenangan manis buat Rohani

Advertisement

KUALA LUMPUR: Mengira ketibaan hari gaji bapa merupakan rutin bulanan dari kecil sehingga meningkat dewasa, kenangan yang tidak dapat dilupakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Rohani berkata apabila hari gaji tiba, beliau tidak sabar untuk menunggu kepulangan ‘heronya’, iaitu ayahnya Karim Abeng yang bekerja sebagai tukang masak dengan gaji sekitar RM100.

“Saya tahu akan dibawa keluar makan sate atau mi goreng. Malah jika bapa lewat mengajak untuk keluar, saya yang akan bertanya bila mahu makan (sate atau mi goreng,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Bapa Peringkat Kebangsaan 2014 bertemakan ‘Ayahku, Heroku’ di sini, semalam.

Beliau menambah walaupun sate dan mi goreng mudah disediakan dan murah, ia tetap dianggap sebagai ‘makanan mewah’ kerana peluang menikmatinya sebulan sekali bersama-sama keluarga tersayang.

Mengimbas kenangan semasa membesar, Rohani berkata beliau lebih rapat dengan ibunya Rajipah Abdul Razak, kerana peribadi ayahnya yang begitu tegas, menyebabkan beliau sukar untuk berkongsi cerita peribadi.

“Saya amat takut dengan ayah, malah untuk bercakap juga saya takut. Semacam ada ‘barrier’ (jurang) antara saya dengan ayah, mungkin kerana jantina kami berbeza,” katanya.

Sehubungan itu, Rohani menasihatkan golongan bapa untuk lebih meluangkan masa dengan anak-anak, kerana Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia siri keempat 2004 mendapati kekerapan bapa bersama-sama anak hanyalah 65.3 peratus, berbanding ibu pada kadar 80 peratus.

Kajian itu diadakan setiap 10 tahun, dan Rohani berharap dapat melihat peningkatan dalam peratusan golongan bapa meluangkan masa bersama-sama anak apabila kajian serupa dijalankan tahun ini.

Selain itu, kajian secara rambang oleh kementerian tahun lalu juga mendapati jumlah masa yang dihabiskan dengan anak semakin singkat, apabila hanya 36 peratus ibu bapa meluangkan masa antara 1 hingga 10 jam seminggu dengan anak.

Sebanyak 19 peratus lagi meluangkan masa antara 11 jam hingga 20 jam, 21 jam hingga 30 jam (14 peratus), 31 hingga 40 jam (4.8 peratus), 41 jam hingga 50 jam(5.5 peratus) manakala 19 peratus lagi meluangkan masa antara 51 jam ke atas dengan anak-anak.

Selain itu, golongan ibu juga didapati lebih ‘berterus-terang’ dalam interaksi mereka dengan anak kerana mudah bertanya tentang hubungan peribadiatau menegur pemakaian anak, manakala bapa cenderung bertanyakan soal pelajaranatau perbelanjaan.

“Kita faham bahawa golongan bapa mungkin sibuk mencari nafkah, namun penting untuk mereka meluangkan masa berkualiti dengan anak, kerana anak ini akan mencontohi apa yang dilihat daripada orang tuanya.

“Mungkin bapa boleh melakukan aktiviti kegemaran seperti memancing, bermain golf, berbasikal atau ambil peluang musim Piala Dunia yang sedang berlangsung untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan,” katanya. — Bernama

Advertisement