Anda di sini

Dapatkah Masjid An-Nur siap menjelang Ramadan?

Advertisement

Oleh Watt Zacchaeus//

SIBU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Sibu/DUN Nangka menzahirkan kebimbangan terhadap projek membaik pulih Masjid An-Nur, Sibu di bawah kelolaan Lembaga Amanah Kebajikan Islam Sibu (LAKIS).

Ketua Cabangnya Abdul Raafidin Majidi berkata tinjauan yang dilakukan di masjid tersebut kelmarin menunjukkan bahawa projek tersebut masih dalam pembinaan dan agak sukar disiapkan dalam tempoh terdekat.

“Kami banyak menerima keluhan dan rungutan orang ramai terutama masyarakat Islam di sekitar bandar Sibu tentang projek tersebut.

“Persoalan yang timbul kepada setiap masyarakat Islam di bandar ini adakah projek tersebut dapat disiapkan sebelum Ramadan yang dijangka jatuh pada 29 Jun ini atau kira-kira dua minggu dari sekarang,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, sebagaimana semua orang sedia maklum, setiap kali bulan Ramadan menjelma umat Islam pasti akan mengimarahkan masjid untuk beramal ibadat seperti solat tarawih, iktikaf, tadarus al-Quran dan sebagainya.

“Dengan keadaan Masjid An-Nur yang masih dalam pembaikan adakah umat Islam sekitar bandar ini dapat beribadat dalam keadaan yang tenang dan elok,” ujarnya.

Katanya memang tidak dinafikan bahawa Masjid An-Nur memerlukan baik pulih namun persoalannya kenapa baharu sekarang projek tersebut dilaksanakan sedangkan LAKIS sedar bahawa Ramadan menjelma tidak lama lagi dan Hari Raya Aidilfitri akan menjelma kurang sebulan setengah lagi.

“Mengapa tidak ditunggu sehingga selepas Hari Raya Aidilfitri baharulah dilaksanakan projek tersebut bagi keselesaan umat Islam menjalani ibadah puasa dan beribadat di Masjid An-Nur ketika bulan Ramadan nanti.

“Justeru, kami memohon jasa baik LAKIS agar dapat mempercepatkan projek tersebut bagi keselesaan umat Islam di sekitar bandar ini menjalani ibadah di Masjid An-Nur, Sibu,” katanya.

Advertisement