Anda di sini

39 veteran ATM kurang upaya terima bantuan khas RM500

Advertisement

KUCHING: Seramai 39 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kurang upaya dari bahagian Kuching dan Samarahan menerima bantuan khas ‘one off’ RM500 pada Majlis ‘1Veteran 1Malaysia: Jasamu Sentiasa Dikenang dan Dihargai’ di sini, semalam.

Dianjurkan oleh Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), majlis  penyerahan tersebut disempurnakan dan disampaikan oleh Presidennya Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor.

Utusan Borneo mendapati, rata-rata penerima melahirkan rasa gembira dan terima kasih kepada kerajaan khasnya PBTM kerana memberi bantuan khas tersebut yang disifatkan mampu meringankan beban mereka.

Salah seorang penerima, Alihan @ Romi Chula, 61, berkata, beliau berasa bersyukur dan gembira kerana sumbangan itu membuktikan keprihatinan kerajaan dalam menghargai mereka yang pernah berkhidmat kepada negara.

Beliau yang mengalami kecacatan pada bahagian tangan, menyifatkan bantuan itu dapat meringankan beban hidup pesara tentera sepertinya.

“Saya bersyukur kerana sumbangan ini tanda penghargaan kepada anggota tentera yang ditimpa malapetaka atau kemalangan ketika menyertai operasi ketenteraan.

“Justeru, saya berharap bantuan ini dapat diteruskan pada masa akan datang kerana ia amat besar maknanya kepada kami,” katanya kepada pemberita semalam.

Alihan yang berasal dari Kampung Semera, Sadong Jaya dan kini menetap di Asajaya memberitahu, beliau pernah berkhidmat dalam ATM selama 14 tahun dari 1973 hingga 1987.

Menurutnya, pengalaman yang tidak dapat dilupakannya semasa operasi menentang komunis ialah semasa di Balai Ringin di mana dia bersama platunnya terpaksa berjaga sepanjang malam berhadapan dengan serangan dan tembakan daripada komunis.

Sementara itu, Meseken Ginda, 66, dari Katibas Song, Kapit dan kini menetap di Kuching menyifatkan bantuan tersebut sebagai penghargaan kerajaan terhadap jasa veteran tentera yang pernah berkhidmat kepada negara.

“Terima kasih diucapkan atas sumbangan ini kerana selain dapat meringankan beban ia secara tidak langsung membuatkan kami rasa dihargai.

“Sumbangan ini juga menunjukkan bahawa sumbangan veteran tentera hendaklah diteladani anggota tentera hari ini dengan bersiap siaga sepanjang masa memikul amanah dan integriti secara profesional untuk mempertahankan kedaulatan negara serta mengekalkan keselamatan,” katanya.

Meseken yang pernah berkhidmat selama 24 tahun dalam ATM dari 1965 hingga 1989 di Markas 1 Divisyen Jalan Palm turut memuji usaha PBTM dan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) kerana telah menjaga kebajikan veteran tentera negeri ini.

“Selain pelbagai bantuan kebajikan, pelbagai anugerah turut diberikan kepada veteran sebagai sumbangan dan pengiktirafan perjuangan mereka.

“Oleh itu, saya berharap PBTM dapat meluaskan lagi usaha agar dapat mengesan veteran tentera yang pernah berkhidmat semasa zaman darurat dan konfrontasi untuk diberi bantuan,” tambahnya.

Meseken menerima bantuan tersebut kerana beliau kini menghidapi penyakit angin ahmar (strok) sejak 25 Jun 2010.

Terdahulu, Yang Dipertua PBTM Negeri Spencer Birai memberitahu, pemberian bantuan khas tersebut adalah hasil kutipan Tabung Pahlawan 2013.

“Tujuan penyampaian tersebut adalah untuk meringankan beban serta mengenang jasa veteran OKU yang tercedera semasa menjalanan tugas operasi untuk menjaga keamanan negara pada masa dahulu,” jelasnya.

Menurutnya, kategori veteran OKU yang layak mendaftar adalah veteran yang cedera semasa pertempuran dengn pengganas komunis dan elemen subversif termasuk pencerobohan wilayah negara.

Selain itu jelasnya, kategori lain veteran yang menerima bantuan khas tersebut ialah veteran yang cedera kekal semasa bertugas serta mengalami kecederaan kekal akibat kemalangan yang tidak disengajakan selepas tamat perkhidmatan.

“Ia turut merangkumi veteran yang mengalami penyakit kronik yang berpanjangan dan kekal terlantar atau mengalami pergerakan yang terhad selepas tamat perkhidmatan,” ujarnya.

Advertisement