Anda di sini

Tak adil menuding jari kepada SEB

Advertisement

Oleh Mohd Achil Norrlatep

 

MIRI: Insiden gangguan bekalan elektrik bukan di bawah kawalan pihak Sarawak Energy Berhad (SEB), namun ia dapat dikurangkan.

Menurut Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin, adalah tidak adil untuk menuding jari kepada SEB apabila berlakunya gangguan bekalan elektrik dan menuduh ia tidak efisien.

“Pihak SEB menerima banyak rungutan, tohmahan dan rasa tidak puas hati daripada pengguna seperti di Desa Senadin, Promin dan Green Heights termasuk di Tudan akibat kekerapan insiden putus bekalan elektrik dan gangguan elektrik,” ujarnya ketika meninjau kerja-kerja pemasangan kabel bawah tanah di Senadin, semalam.

Ketika lawatan, Lee ditemani oleh Pengurus Kanan Rangkaian Pengedar SEB (Operasi dan Penyelenggaraan) Lau Hin Chu dan Pengurus Perancang Projek Awang Iderus yang memberikan penerangan kepada Lee mengenai status projek dan projek-projek berkaitan untuk menambah baik pengedaran tenaga elektrik kepada pengguna di seluruh Miri.

Menurut Lee, kejadian terputus bekalan dan gangguan elektrik yang kerap berlaku di Senadin adalah akibat kabel yang tidak mampu menampung keperluan tenaga di sesuatu kawasan.

“Kabel satu transmisi kadang-kadang tidak mampu mengedarkan kepada lebih 8,000 pengguna di satu-satu kawasan yang bukan hanya untuk pengguna domestik, malah penggunaan komersil,” jelasnya.

Bekalan elektrik terputus dan lebihan tenaga akan berlaku jika ramai pengguna menggunakan barangan elektrik pada satu-satu masa, katanya.

Melalui kabel bawah tanah sebagai kabel simpanan, ujarnya, SEB percaya ia bakal mempercepatkan penyimpanan tenaga.

Kabel simpanan bawah tanah itu merupakan antara 10 projek yang telah dilulus dan sedang dijalankan bernilai lebih RM40 juta untuk menambah baik pengedaran tenaga elektrik kepada pengguna.

Lee berkata, memandangkan banyak projek pembangunan di Permyjaya, satu substesen kini sedang dibina berdekatan dengan kediaman Vista Perdana dan dijangka siap serta beroperasi pada awal 2016.

Untuk menambah transmisi elektrik juga, katanya, pihak SEB sedang menambah 90 transmisi baharu elektrik dari Tudan ke Miri ByPass.

Ia untuk menampung keperluan pengguna dan tenaga lebih stabil di kawasan tengah dan selatan Miri, katanya.

Advertisement