Anda di sini

SUPP Piasau akan usaha bantu Kampung Sealine nikmati elektrik

Advertisement

MIRI: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Piasau akan terus berusaha untuk membantu penduduk Kampung Sealine, Lutong menikmati bekalan elektrik.

Pengerusinya Datuk Sebastian Ting berkata, usaha berkenaan mencerminkan usaha gigih parti memperjuangkan nasib rakyat terutamanya bagi menikmati kemudahan asas.

“Penduduk di sini sudah menetap sekitar 30 tahun dan adalah satu kelegaan serta kegembiraan kerana ada antara rumah yang telah disambungkan dengan bekalan elektrik,” ujarnya pada Majlis Sambutan Gawai Dayak di kampung berkenaan, Rabu lalu.

Bagaimanapun, kepada pemilik rumah yang belum lagi mempunyai kemudahan itu, beliau berharap mereka bersabar.

Ini kerana, katanya, pihak parti sedaya upaya membantu dalam permohonan mendapatkan bekalan elektrik.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sealine Manggie Jeti mengucapkan ribuan terima kasih atas usaha Sebastian, termasuk bantuan menabur batu untuk jalan kampung.

“Terdapat 45 buah rumah di kampung ini dan dengan usaha Datuk (Sebastian), lima daripadanya telah mendapat bekalan elektrik pada awal Mac lepas,” katanya.

Pada masa sama, Manggie berharap rumah selebihnya akan mendapat kemudahan sama tidak lama lagi.

Manggie pada majlis sama turut menyerahkan surat penghargaan daripada pihak JKKK kepada Sebastian.

Advertisement