Anda di sini

SFDP teruskan pencarian bakat baharu bola sepak

Advertisement

Oleh Harry Ilias

KUCHING: Program Pembangunan Bola Sepak Sarawak (SFDP) meneruskan pencarian bakat-bakat baharu dengan 23 pemain menyertai sesi latihan bertempat di padang Institut Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang (IPGKL) bermula Selasa lalu.

 

Pemangku Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) Lucas Kalang Laeng menjelaskan, sesi kali ini melibatkan pemain berumur bawah 19 tahun dari Zon Selatan merangkumi bahagian Kuching, Samarahan dan Betong.

“Ini adalah sesi kedua program kita di mana latihan kali ini berlangsung selama empat hari dan berakhir hari ini (semalam),” katanya semalam.

“Latihan akan dikendalikan oleh Pengarah Teknikal SFDP, Alan Vest selain dibantu dua bekas pemain Sarawak iaitu Safri Amit dan Firdaus Ishak.”

Tambahnya, selepas ini program sama akan bergerak ke Zon Tengah dan Zon Utara.

Terdahulu, beliau menjelaskan latihan itu bertujuan mengenal pasti dan mengembangkan bakat para pemain.

“Latihan ini menjadi platform awal pihak MSNS untuk mengenal pasti pemain berbakat yang dapat kita ketengahkan ke peringkat seterusnya.

“Menerusinya, pemain akan didedahkan dengan pelbagai teknik serta kemahiran permainan bola sepak untuk membantu mereka menjadi pemain yang berkualiti dan berwibawa.”

Lucas turut menyatakan pemain yang dikenal pasti akan diserap dalam pasukan untuk menghadapi Kejohanan Sukan BIMB-EAGA 2014 yang akan berlangsung di Wilayah Persekutuan Labuan pada bulan Disember kelak.

Advertisement