Anda di sini

Remaja dituduh bunuh ibu sendiri

Advertisement

MIRI: Seorang remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret pagi semalam atas tuduhan melakukan pembunuhan hingga menyebabkan kematian ibu kandungnya.

Juvana, 17, dari Jalan Riam di sini telah didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, juvana terbabit telah dituduh dengan niat melakukan pembunuhan hingga menyebabkan kematian ibu kandungnya, Marife Resuello Wong yang merupakan warganegara Filipina.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 8.15 pagi, 5 April tahun ini di hadapan Kompleks Tenis, Jalan Datuk Tuah Johari di sini.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan salah direkodkan.

Terdahulu, pegawai pendakwa turut memohon agar ditetapkan satu tarikh baharu untuk sebutan lanjut memandangkan laporan kimia berhubung barang kes masih belum siap.

Majistret Tania Arissa Andi Sanrang kemudian menetapkan 7 Julai depan untuk sebutan lanjut kes.

Manakala juvana terbabit diperintahkan supaya ditahan lanjut di Sekolah Tunas Bakti, Kuching sementara menunggu tarikh tersebut.

Advertisement