Anda di sini

Pesalah cermin gelap tetap kena bayar saman

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pesalah trafik yang disaman kerana cermin gelap, sebelum undang-undang baharu mengenainya dipinda, masih perlu membayar saman mereka.

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman SAC Mohd Fuad Abd Latiff berkata kesalahan trafik cermin gelap yang lepas tetap dikira salah kerana ia  masih lagi mengikut kadar ketelusan cahaya 70 peratus bagi cermin depan dan  50 peratus bagi lain-lain cermin.

“Kerajaan telah memberi perakuan bahawa pindaan kepada ketelusan cahaya itu akan dibuat tetapi apa pindaan itu kita tidak pasti lagi,” tambah beliau.

Katanya polis menghormati keputusan yang dibuat oleh Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) dan akan menangguhkan operasi cermin gelap ini sehingga mendapat laporan mengenai ketelusan cahaya yang dibenarkan, katanya kepada pemberita selepas merasmikan konvoi bermotosikal Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama 1Malaysia for Youth (1M4U) di sini semalam.

Acara itu ialah siri ke-5 selepas Selangor, Pahang, Perak dan Kedah yang dikendalikan oleh Cawangan Trafik Bukit Aman dengan kerjasama 1Malaysia For Youth (iM4U) bertujuan menggalakkan orang ramai terutama golongan muda supaya berdisiplin di jalan raya dan menghormati pengguna jalan raya yang lain.

Sebanyak 80 penunggang termasuk 40 anggota polis menyertai konvoi ke Tanjung Mas, Muar, Johor itu. — Bernama

Advertisement