Anda di sini

Pemimpin masyarakat perlu bantu sebar mesej kerajaan

Advertisement

KANOWIT: Pemimpin masyarakat disaran untuk memainkan peranan dalam membantu menyampaikan mesej kerajaan seterusnya mendapatkan maklum balas rakyat berkaitan mesej dan agenda kerajaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Alexander Vincent berkata, semua pihak harus bekerjasama dan paling penting menghadiri setiap program yang dianjurkan oleh agensi kerajaan lebih-lebih lagi melibatkan kehadiran wakil rakyat bagi mendapatkan maklumat terkini.

“Tugas pemimpin masyarakat adalah sebagai orang tengah antara kerajaan dan rakyat. Anda harus menyalurkan maklumat serta agenda kerajaan kepada rakyat.

“Gunakan sebaiknya ruang dan peluang yang ada untuk menyalurkan pendapat bagi kepentingan bersama dan bukannya menjadi sebahagian daripada kalangan tertentu yang cuba memutarbelitkan isu semasa seterusnya hanya mengambil kesempatan.

“Jangan menyalahgunakan kuasa dan tanggungjawab anda serta mempersia-siakan harapan kerajaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Jalan Simen dan ‘Ngiling Bidai’ di Rumah Empera Manggoi, Sungai Mapai di sini, baru-baru ini.

Hadir sama Pegawai Penerangan Daerah Kanowit Wan Mohd Zuki Wan Ismail, wakil dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kanowit Inspektor Mohd Nor Ali, Penghulu Juin Adan, Penghulu Ugap Seribu, Penghulu Barnabas Angki, Penghulu Ijam Tuah dan Tuai Rumah Empera.

Sementara itu, Alexander yakin akan terus berkhidmat dengan sebaik mungkin kepada rakyat di konstituensinya melalui kerjasama pemimpin masyarakat setempat.

Beliau juga mahu rakyat terus memberi sokongan terhadap usaha kerajaan yang ingin membangunkan kawasan luar bandar melalui peranannya sebagai wakil rakyat mereka.

“Tanpa sokongan semua, sudah pasti rancangan dan usaha kita akan menemui jalan buntu. Justeru, pembangunan yang dilaksanakan adalah untuk manfaat semua dan tiada kaitan dengan kepentingan individu.

“Pembangunan kerajaan adalah untuk keselesaan rakyat,” tegasnya sambil menasihatkan rakyat agar mengekalkan keharmonian bagi memastikan segala usaha pembangunan kerajaan berjalan lancar seterusnya rakyat akan memperolehi kehidupan yang lebih baik.

Menurutnya lagi, pembangunan kerajaan adalah melibatkan kemudahan asas yang berterusan bagi memastikan setiap rakyat mendapat manfaat seperti yang telah dilaksanakan sekarang yang melibatkan bekalan elektrik, jalan, bekalan air bersih dan sebagainya.

Di akhir ucapannya, Alexander mengumumkan peruntukan geran projek kecil luar bandar (MRP) sebanyak RM5,000 untuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Empera dan RM3,000 untuk JKKK Wanita Rumah Empera bagi membantu menjalankan aktiviti mereka.

Advertisement