Anda di sini

Pelajar dyslexia perlu ikuti pemulihan khas, intervensi

Advertisement

KUCHING: Pelajar yang menghadapi masalah dyslexia sepatutnya dikeluarkan dari sekolah buat sementara waktu bagi me-mastikan mereka mengikuti latihan pemulihan dan intervensi.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata, sekurang-kurangnya mereka boleh membaca dalam tempoh tiga bulan sekiranya menjalani latihan yang efektif.

Menurutnya, pelajar dyslexia sebenarnya perlu mengikuti latihan khas dan bukannya belajar secara umum bersama pelajar lain.

“Mereka (pelajar dyslexia) perlu mengikuti silibus khas dan bukannya secara umum bersama pelajar lain.

“Ini kerana mereka harus mengikuti latihan pemulihan dan intervensi yang bersesuaian dengan keperluan masing-masing,” kata-nya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kem Literasi Dyslexia di Pusat Sumber dan Pembelajaran Persatuan Dyslexia Sarawak (DASwk) semalam.

Fatimah menjelaskan, pelajar dyslexia memerlukan sistem pembelajaran yang lebih menyeronokkan bagi merangsang minda mereka.

“Kalau dilatih secara bersama (pelajar dyslexia), mereka akan belajar berinteraksi dengan baik,” ujarnya.

Sehubungan itu, menurutnya, golongan pendidik dan ibu bapa perlu meningkatkan kesedaran tentang masalah pelajar dyslexia.

“Mereka (pelajar dyslexia) memerlukan pemulihan secara berterusan untuk meningkatkan keyakinan diri,” jelasnya.

Seramai 30 pelajar dyslexia menyertai kem tersebut dari 13 hingga 15 Jun.

Kem tersebut diadakan untuk mengukuhkan kemahiran literasi membaca dan menulis dalam persekitaran menyeronokkan.

Hadir sama Penaung  DASwk Datin Azerina Mohd Arip dan Presiden DASwk Dr Ong Puay Hoon.

Advertisement