Anda di sini

Pakcik Wira

Advertisement

Oleh Kepu Sidi//

 

TUNGGU BERITA: Kelihatan kaunter kecemasan Hospital Saratok dipenuhi oleh saudara mangsa.

“MATI aku aya, lain asai utai tu.” (Mati aku pakcik, lain betul betul rasa benda ini).

Itulah jeritan yang membakar semangat bapa saudara kepada seorang budak yang dipercayai nyaris dibaham buaya di muara Sungai Supa, Krian Saratok, semalam untuk terjun ke sungai dan menyelamatkan mangsa.

Ngelambong Chundi, 50, berkata selepas mendengar jeritan anak saudaranya, Tellecson Ancharang Idik, 13, dia tidak peduli akan keselamatan dirinya, lalu nekad untuk menyelamatkan mangsa, walaupun nyawanya sendiri mungkin turut tergadai.

“Dalam fikiran saya ketika itu, jika ajal saya dan Tellecson sudah tersurat mati menjadi mangsa serangan buaya, biarlah kami mati bersama. Saya tidak akan biarkan dia seorang menjadi korban.

“Lantas saya terus terjun dan menyelam ke dasar Sungai Supa untuk mencari mangsa yang sudah terkapai-kapai ditarik buaya.

“Bila saya menyelam berhampiran dengan mangsa yang sedang bergelut dengan buaya, saya terus terpegang badan mangsa lalu cuba untuk menariknya keluar dari sungai.

“Tatkala tangan kiri memegang tubuh mangsa, dengan tangan kanan saya cuba menumbuk kepala buaya terbabit yang sedang mengigit kaki kiri mangsa.

“Setelah bertubi-tubi menumbuk kepala buaya terbabit, secara tiba-tiba ia terus melepaskan gigitannya. Melihat keadaan itu saya terus berusaha dengan sepenuh tenaga menarik mangsa ke tebing sungai,” kata Ngelambong ketika ditemui media di Hospital Saratok, semalam.

Dipercayai buaya terbabit melepaskan mangsa berikutan terkena tumbukan Ngelambong di bahagian matanya.

Kejadian dipercayai berlaku pada jam sekitar 11.30 pagi semalam ketika mangsa bersama Ngelambong sedang menangguk undang di muara Sungai Supa.

Serangan buaya tersebut adalah yang pertama berlaku di kawasan tersebut, walaupun penduduk mendakwa banyak buaya menghuni sungai berkenaan.

Menurut Ngelambong, sebelum ini penduduk di kawasan itu kerap melihat sang bedal itu timbul dan berjemur di kawasan berkenaan.

“Saya anggarkan buaya yang menyerang mangsa sebesar tong gas dan mempunyai panjang dalam lingkungan sembilan kaki.

“Sewaktu bertarung dengan buaya tersebut, paha kanan saya telah dilibasnya dengan ekor dan kesakitan itu masih lagi terasa,” cerita Negelambong.

Akibat serangan itu, Tellecson yang merupakan pelajar Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saratok mengalami kecederaan teruk di kakinya, manakala pergelangan tangan kirinya patah.

Sementara itu, Kaunselor Uju Empat yang ditemui media berkata, lokasi serangan itu berlaku kira-kira 15 minit berjalan kaki menggunakan denai dari rumah panjangnya di Senyawan, Krian.

“Ia hanya terletak lebih kurang 500 meter dari pangkalan perahu rumah panjang kami. Sekiranya air surut, paras air di Sungai Suba hanyalah pada paras dada orang dewasa.

“Satu laporan polis telah kita buat berhubung dengan serangan ini dan pada masa yang sama, kita akan memohon bantuan daripada pihak yang berkaitan untuk menangkap buaya ini bagi mengelak kejadian serupa berulang,” kata Uju.

Mangsa telah dibawa ke Hospital Saratok dan dilaporkan stabil.

Advertisement