Anda di sini

Maklumat pertahanan aset penting kementerian

Advertisement

Oleh Jessica Jawing

 

KUCHING: Warga Kementerian Pertahanan (MINDEF) diingatkan supaya tidak menyebarkan maklumat atau perkara berkaitan dengan kementerian kepada orang luar kerana ia mampu mewujudkan salah faham dan dimanipulasikan.

Ketua Setiausahanya Datuk Seri Dr Ismail Ahmad menegaskan, setiap maklumat dalam pertahanan awam sama ada besar atau kecil adalah aset penting kepada kementerian.

“Tidak mengira sama ada ia dalam bentuk nilai kewangan, projek, peralatan, penyelenggaraan atau dari segi jumlah besar, tinggi dan rendah ia adalah satu maklumat amat penting.

“Maklumat sebegini boleh menyebabkan orang luar akan menganalisis serta menilai  yang akan memberi kesan kepada kedudukan, kesan kepada sesuatu kem atau kesan kepada satu pasukan kita,” ujarnya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Jasamu Dikenang dan Pingkat Perkhidmatan serta Pekerti Terbilang 2014 yang dihadiri Pengarah MINDEF Sarawak Zakaria Mustapha di sini, semalam.

Ismail menambah, mungkin ada di kalangan pegawai atau kakitangan MINDEF menganggap maklumat sedemikian sebagai tugas harian biasa, tetapi ia mungkin maklumat berguna kepada orang luar untuk tujuan manipulasi.

Beliau percaya mungkin maklumat yang disampaikan juga datang daripada sumber kedua dan ketiga dan dianalisis serta dimanipulasi oleh pihak tertentu, sedangkan ia tidak berlaku sama sekali.

“Maka, saya menasihatkan kakitangan MINDEF jangan sebarkan atau bercerita kerana ia mungkin cerita biasa tetapi disalah anggap atau dimanipulasikan dan kita tidak mahu perkara sebegini berlaku kerana akan memberi kesan buruk kepada organisasi,” tegasnya.

Terdahulu dalam ucapannya, Ismail berkata warga kementerian harus sedar bahawa sebarang undang-undang, peraturan, arahan atau prosedur yang berkuat kuasa hendaklah sentiasa dipatuhi dari semasa ke semasa terutama dalam menjaga kerahsiaan kerajaan.

Jelas beliau, jika warga bersikap sambil lewa dan tidak amanah, banyak pihak akan mengambil kesempatan yang boleh mengancam keselamatan negara serta kesejahteraan rakyat termasuk membocor maklumat serta menyebarkan maklumat sulit dan sensitif kepada pihak yang ingin melihat kehancuran negara.

“Perbuatan membocorkan rahsia kerajaan tidak boleh dikompromi sama sekali dan saya ingin menegas serta mengingatkan kepada semua ketua jabatan supaya lebih tegas dalam memberikan teguran atau amaran.

“Selain itu, mengambil tindakan tegas ke atas sebarang pelanggaran keselamatan termasuk ketidakpatuhan, kecuaian, kelalaian penjawat awam sehingga menyebabkan berlakunya kebocoran rahsia rasmi kerajaan serta kelalaian terhadap aset kerajaan di pejabat masing-masing,” katanya.

Beliau memberitahu kegagalan dalam pematuhan undang-undang tersebut akan membolehkan tindakan tatatertib diambil mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam 1993 ataupun tindakan pendakwaan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88).

Majlis semalam menyaksikan seramai 60 penerima menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, manakala 30 orang menerima Pingat Perkhidmatan bersara.

Advertisement