Anda di sini

Limbang sedia hantar pasukan terbaik ke Piala Isuzu, Piala Sarawak

Advertisement

LIMBANG: Persatuan Bola Sepak Limbang (LFA) sudah bersedia untuk menghantar pasukan Limbang ke dua kejohanan besar iaitu Piala Isuzu 19 Tahun dan Piala Sarawak hujung tahun ini, sekali gus mempertahankan mahkota kejuaraan.

Presiden LFA Dr Abdul Rahman Ismail berkata, meskipun berdepan dengan masalah kewangan, namun pihaknya akan berusaha untuk mengatasinya selain fokus mengekalkan gelaran juara (Piala Isuzu) dan ketiga bersama (Piala Sarawak).

Jelasnya, LFA juga optimis akan sentiasa memperbaiki pencapaian pada dua kejohanan besar itu dengan mencari pemain terbaik untuk diasah bakat melalui Liga Limbang 2014 yang berlangsung sengit sekarang.

“Meskipun berdepan masalah kewangan untuk menghadapi dua kejohanan itu, kita akan mengatasinya termasuk mendapatkan penaja untuk mewujudkan Piala Liga Premier dan Piala FA tahun ini.

“Masa ini kita sudah menulis surat kepada wakil rakyat yang ada untuk menaja Piala Premier dan Piala FA 2014,” ujarnya ketika ditemui pada perlawanan pasukan ABC Club menentang Tiger FC bagi merebut Piala Sumbangsih di Kompleks Sukan Limbang baru-baru ini.

Pada kejohanan itu, Tiger FC menumpaskan ABC Club dengan jaringan gol yang ditentukan melalui sepakan penalti 4-2 selepas kedua-duanya seri 3-3.

Turut hadir ialah Timbalan Presiden LFA Alidin@Brahim tawar, Naib Presiden LFA Bulhaji Wahab, Setiausaha LFA Abdul Ajis Kon Mohd Ghazali dan jawatankuasa tertinggi LFA.

Dr Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota  berkata, pelbagai penambahbaikan akan dilakukan pada penganjuran Liga Limbang 2014 berdasarkan sambutan hebat daripada peminat sukan nombor satu di bahagian ini.

“Kita masih mengekalkan sistem sama, tetapi terdapat penambahan lima pasukan baharu yang membarisi senarai Liga Premier,” ujarnya.

Advertisement