Anda di sini

Kebersihan sungai perlu dipelihara

Advertisement

Oleh Ambrose Rirang

 

BINTULU: Masyarakat di bahagian ini khususnya yang tinggal berdekatan dengan sungai disaran agar sentiasa menjaga kebersihan sungai serta kawasan sekitarnya bagi memastikan ia tidak tercemar serta selamat untuk digunakan.

Menurut Timbalan Presiden Kelab Rotary Bintulu Dr Joseph Bong, langkah drastik perlu diambil oleh semua penduduk yang tinggal di tepi sungai khususnya penduduk di kawasan perkampungan dan rumah-rumah panjang dalam usaha menjaga kebersihan sungai yang merupakan nadi utama kehidupan.

“Seboleh-bolehnya, penduduk di rumah-rumah panjang menyediakan satu tapak pembakaran sampah daripada hanya membuang sisa domestik ke dalam sungai.

“Ini kerana perbuatan itu salah di sisi undang-undang dan boleh mengakibatkan berlakunya pencemaran sungai serta impak susulan yang lain pada masa hadapan,” ujarnya semasa berucap pada Majlis Perasmian Kempen Cintailah Sungai Kita 2014 anjuran bersama Interact Club of Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bintulu, SMK Bintulu dan Kelab Rotary Bintulu bertempat di Rumah Henry Nuni, Sungai Gelam Sebauh di sini, pagi semalam.

Joseph berkata, walaupun terletak jauh di kawasan pedalaman serta tiada kutipan sampah dibuat di kawasan-kawasan tertentu di bahagian ini, namun ia bukan alasan kukuh untuk penduduk membuang sampah atau sisa buangan ke dalam sungai.

Sebaliknya, beliau menyarankan agar setiap Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di rumah-rumah panjang dan kawasan perkampungan mewujudkan sebuah tapak pembakaran sampah dalam usaha mengurangkan sisa buangan ke dalam sungai yang sememangnya boleh mencemarkan sungai dalam jangka masa panjang.

“Walaupun ia bukan merupakan langkah terbaik, tetapi sekurang-kurangnya dengan adanya pembakaran sampah akan mengurangkan sisa buangan ke dalam sungai sekali gus membantu meminimumkan impak daripada pembuangan sampah ke dalam sungai dalam jangka masa panjang,” ujarnya.

Sementara itu, Joseph melahirkan penghargaan serta terima kasih kepada Rumah Henry Nuni yang sudi menjadi lokasi bagi tujuan menjalankan kempen kebersihan sungai yang diyakini memberi impak positif terhadap komuniti setempat khususnya di Daerah Kecil Sebauh.

Dalam perkembangan berkaitan, jawatankuasa penganjur kempen menyampaikan sumbangan 200 pohon anak bunga untuk ditanam dengan tujuan menghiasi landskap di pekarangan rumah panjang berkenaan.

Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) turut menyumbangkan sebuah tong sampah besar kepada penduduk rumah panjang terbabit.

Rumah Tuai Rumah Henry Nuni merupakan sebuah rumah panjang kaum Iban yang terletak kira-kira 45 kilometer dari bandar Bintulu.

Advertisement