Anda di sini

Hari Gawai Kaamatan 2014 pasti meriah

Advertisement

PENGHARGAAN: Adenan menerima cenderamata daripada Presiden DCCI Datuk Joseph Salang Gandum (tengah) semasa kunjungan menjemput beliau di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia, semalam.Turut kelihatan Ujang (kiri) serta ahli lain. — Gambar Chimon Upon

KUCHING: Lebih 1,000 pengunjung dijangka memeriahkan sambutan Hari Gawai Kaamatan 2014 yang diadakan pada 28 Jun di sebuah rumah panjang di Sebauh, Bintulu.

Penasihat DCCI juga Pengerusi Pengelola Tan Sri Celestine Ujang Jilan berkata program tahunan anjuran Dewan Perdagangan dan Industri Dayak (DCCI) bersama Dewan Perdagangan dan Industri Kadazandusun (KCCI), Sabah itu menyaksikan pemilihan rumah panjang pada kali ini berbanding restoran sebagai venue acara.

Beliau memberitahu, program yang diadakan di Rumah Meikle Ding di Sebauh itu bakal menyaksikan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem sebagai tetamu kehormat.

“Ketua Menteri telah bersetuju menjadi tetamu kehormat dan beliau akan tiba di majlis pada jam 10 pagi.

“Pada tahun ini, kami memilih rumah panjang sebagai venue iaitu Sebauh Bintulu. Ia cuma memakan masa 40 minit memandu dari bandar Bintulu dan kami juga dimaklumkan ramai rakan-rakan kita dari KCCI datang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri untuk menjemput beliau sebagai tetamu kehormat pada majlis berkenaan di pejabat Ketua Menteri sini, semalam.

Ujang berkata, acara kemuncak pada hari berkenaan adalah perarakan pemenang Kumang Gawai 2014 dari seluruh bahagian, selain Unduk Ngadau 2014 dari Sabah.

Objektif program, katanya, bagi memberi peluang kepada ahli-ahli DCCI dan KCCI bertukar-tukar pandangan selain mengukuhkan perpaduan antara satu sama lain.

Kali ini sambutan yang bertemakan ‘Transformasi Luar Bandar melalui Integrasi Budaya’ menampilkan pelbagai aktiviti. Selain Kumang Gawai, persembahan istimewa iaitu ‘Teratai Gawai’ turut diadakan oleh Kumpulan Sri Budaya Bintulu.

Dianjurkan sejak tahun 2007 ini, acara itu menyaksi-kan Sarawak sebagai tuan rumah pada tahun ini selepas di Sabah pada tahun lepas dan dijangka 200 ahli KCCI dari Sabah turut memeriahkan acara kali ini.

Advertisement