Anda di sini

DCCI tidak mahu ulas tiga rang undang-undang NUCC

Advertisement

KUCHING: Dewan Perdagangan dan Industri Dayak (DCCI) tidak mahu membuat kesimpulan mengenai penggubalan tiga rang undang-undang oleh Majlis Perundingan Perpaduan Negara (NUCC) yang didakwa menggugat hak Bumiputera tanpa melihatnya terlebih dahulu.

Presidennya Datuk Joseph Salang Gandum berkata, pihaknya tidak akan meng-ulas lanjut mengenai perkara berkenaan selagi tidak melihat kandungan rang undang-undang itu.

“Kita cuma hanya mendengar sahaja buat masa ini tetapi kita belum melihatnya (kandungan).

“Sejurus sahaja ia ada saya rasa, kita ada Ahli Parlimen sama ada dari Sabah atau Sarawak dan akan melihat perkara ini dengan lebih teliti dan akan mengulas lanjut mengenainya. Namun buat masa ini kami tidak tahu apa kandungannya,” ujarnya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem di Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pembentangan tiga rang undang-undang bagi menggantikan Akta Hasutan 1948, iaitu Rang Undang-Undang Keharmonian Nasional, Rang Undang-Undang Perpaduan Nasional serta Rang Undang-Undang Integrasi dan Perpaduan Nasional.

Menurut sebuah portal berita, Rang Undang-Undang Perpaduan Nasional dan Rang Undang-Undang Keharmonian Nasional bertujuan menghapuskan dasar pemilihan berasas kepada agama, bangsa, keturunan, tempat lahir, jantina atau ketidakupayaan dan lain-lain yang berkenaan.

Sementara itu, berhubung dengan pembabitan golongan Dayak dalam Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE), Salang berkata DCCI giat dalam usaha untuk memperjelaskan kepada ahlinya tentang keperluan bagi sesetengah kerja yang ditawarkan di SCORE.

“Dengan itu kami berusaha melakukan terbaik bagi melibatkan mereka dengan pelbagai kemahiran melalui pelbagai latiahn supaya mereka mendapat peluang yang baik dan tepat.

“Jika mereka mendapat peluang tetapi tidak mampu untuk melakukannya, juga tidak ada gunanya maka itu kita perlu memberi mereka peluang kepada apa yang mereka mampu lakukan,” tegasnya.

Advertisement