Anda di sini

Berita gembira buat SJKC Taman Rajang

Advertisement

SIBU: Permohonan pihak Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Taman Rajang untuk menaik taraf kawasan lapang di hadapan sekolah mendapat jawapan positif daripada pihak berkuasa.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Masyarakat Dato Sri Wong Soon Koh yang meninjau keadaan di sekolah terbabit kelmarin memberikan khabar gembira kepada pihak sekolah.

“Pihak sekolah telah mengemukakan permohonan kepada saya dan JKR untuk membantu mereka menambah baik kawasan lapang di hadapan sekolah.

“Ini kerana kawasan ini akan menakung air setiap kali hujan lebat, sekali gus menyukarkan kanak-kanak sekolah,” ujarnya kepada pemberita.

Menteri Kewangan Kedua itu juga memberitahu, beliau bersama pihak JKR akan melakukan yang terbaik untuk keselesaan pelajar serta warga sekolah terbabit.

Menurut Wong, kawasan lapang itu akan diturap semula dengan kerja-kerja akan bermula minggu depan.

Kerja-kerja, katanya, dijangka mengambil masa beberapa hari untuk dilakukan.

Turut hadir ialah Setiausaha Politik Ketua Menteri Pau Kiew Chuang, Jurutera Bahagian Jabatan Kerja Raya (JKR) Sibu Tiong King Wei dan Guru Besar sekolah Lee Sia Chuong.

Advertisement