Anda di sini

Banyak sebab Sarawak wajar jadi destinasi pelabur Kazakhstan

Advertisement

ASTANA, Kazakhstan: Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata banyak sebab mengapa Sarawak wajar dijadikan destinasi pelaburan oleh Kazakhstan.

Dalam usaha menarik pelabur dari negara itu, kekuatan SCORE menurutnya terletak dengan potensi keupayaan membekalkan tenaga elektrik sehingga 20,000 megawat menjelang 2030.

“Sarawak menawarkan kelebihan dari segi bekalan tenaga yang kompetitif, bukan sekadar harga tetapi juga aspek keupayaan untuk membangunkan lebih bekalan tenaga,” ujarnya berucap pada Forum Pelaburan dan Perniagaan Sarawak di hadapan lebih 100 pelabur di sebuah hotel di sini.

Menurutnya, kerajaan telah berjaya menarik kemasukan pelabur ke negeri ini dengan membangunkan sistem penjanaan tenaga elektrik menerusi pembinaan empangan hidro elektrik Bakun dan Murum.

“Beberapa contoh industri berintensifkan tenaga ialah loji melebur aluminium, polisilikon, silikon metalik dan aloi. Untuk tujuan ini, Taman Perindustrian Samalaju dengan 8,800 hektar dilengkapi pelabuhan, bandar baharu dan perkhidmatan kerajaan kini dalam pembinaan,” ujarnya.

SCORE, katanya, setakat ini telah mencatatkan pelaburan AS$8.3 bilion.

Menurutnya lagi, kerajaan kini menitikberatkan belia untuk menceburi latihan teknikal agar menyokong keperluan tenaga kerja berkemahiran dalam industri di SCORE.

 

Advertisement