Anda di sini

Anak dipercayai curi barang bapa sendiri dicekup polis

Advertisement

SARIKEI: Seorang anak yang dipercayai mencuri beberapa barangan milik bapanya sendiri dan menjualnya kepada kenalannya dicekup polis baru-baru ini.

Kejadian dipercayai berlaku di Kampung Masjid Lama Daro, apabila seorang remaja lelaki berusia 22 tahun yang menganggur dipercayai mencuri beberapa barangan milik bapanya termasuk kamera jenama Samsung untuk dijual bagi mendapatkan wang.

Berikutan tidak tahan dengan perangai anaknya itu, bapa suspek membuat laporan polis.

Menurut laporan polis pada 29 Mei lepas, pengadu (bapa saspek) mendakwa kehilangan beberapa barang seperti kamera Samsung, komputer riba berserta beg, pengecas bateri dan kodles keyboard dari rumahnya.

Pengadu mendapati tiada sebarang kesan pecah masuk ke dalam rumahnya dan mengesyaki perbuatan mencuri itu telah dilakukan oleh anaknya sendiri.

Akibat kecurian tersebut, pengadu mendakwa mengalami kerugian berjumlah RM1,768.

Ekoran laporan tersebut, pada hari yang sama sepasukan polis dari unit Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Matu/Daro bertindak menahan saspek.

Hasil siasatan awal yang telah dijalankan, suspek mengaku mencuri kamera Samsung dan menjualnya kepada salah seorang kenalannya.

Berdasarkan maklumat yang telah diperolehi, pihak polis telah menemui semula kamera tersebut dan merampasnya untuk dijadikan barang kes.

Berikutan itu, jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan dengan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya sekali.

Sehubungan itu, Mahkamah Majistret Sarikei telah memutuskan Khamis, 3 Julai untuk sebutan kes terbabit dan suspek telah dibebaskan dengan ikat jamin mahkamah sebanyak RM5,000, deposit tetap RM1,000 bersama dua penjamin tempatan.

Advertisement