Oleh Harry Ilias
Beberapa pemain utama masih belum cergas untuk hadapi LionsXII malam ini
KUCHING: Ketua Jurulatih Sarawak Robert Alberts tidak mahu memperjudikan pemain utamanya yang belum cergas sepenuhnya pada perlawanan Liga Super menentang LionsXII di Stadium Jalan Besar malam ini.
Katanya, tonggak utama Muamer Salibasic dan pertahanan Dzulazlan Ibrahim mengalami kecederaan ringan selepas aksi cemerlang ketika membenam T-Team Selasa lalu.
Selain itu, katanya, pertahanan kental Ramesh Lai juga diketepikan kerana belum sihat sepenuhnya.
“Kita telah kehilangan Gabor (Gyepes) dan Hassan (Mohamed) akibat kecederaan dan kita tidak mahu nasib sama menimpa pemain lain.
“Ini kerana kita perlu mengharungi tiga lagi perlawanan penting termasuk Piala Malaysia selepas ini,” katanya semalam.
Menurut Alberts, senarai kesebelasan utamanya akan ditentukan selepas latihan malam ini (semalam).
“Saya menjangkakan perlawanan yang sengit malam esok (malam ini) kerana LionsXII pastinya tidak mahu kehilangan mata berharga untuk melonjakkan mereka di kedudukan yang lebih selesa.
“Tambahan lagi, mereka mempunyai ramai pemain kebangsaan yang cukup berpengalaman dan bermain di laman sendiri pasti memberi mereka lebih banyak kelebihan,” tambahnya.
Alberts bagaimanapun optimis barisan anak-anak buahnya mampu mengulangi kejayaan menewaskan skuad sama 3-1 pada Mac lalu di Stadium Negeri.
“Tidak mustahil untuk membawa pulang tiga mata penuh jika pemain dapat mengekalkan momentum kemenangan.
“Kita akan cuba menampilkan permainan menarik namun yang paling adalah untuk memburu kemenangan bagi menjamin slot ke Liga Super pada musim depan.”
Sarawak menduduki tangga keenam dengan 28 mata, manakala LionsXII di tangga kelapan dengan 24 mata.