Anda di sini

Rakyat kini letak harapan tinggi terhadap kaunselor

Advertisement

MUKAH: Rakyat mempunyai harapan tinggi terhadap kaunselor berikutan pemikiran rakyat pada hari ini lebih matang dan ramai yang berpendidikan tinggi, kata Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Datuk John Sikie Tayai.

Beliau memberitahu, adalah amat penting bagi kaunselor mempelajari bidang kuasa jawatan mereka dengan lebih mendalam.

“Pada hari ini, pemikiran rakyat sudah begitu luas dan sudah ramai yang berpendidikan tinggi. Maka, ia merupakan satu cabaran kepada para kaunselor ketika berhadapan dengan rakyat.

“Suhubungan itu, adalah patut dan perlu para kaunselor mempelajari bidang kuasa jawatan mereka dengan lebih mendalam untuk berhadapan dengan rakyat, selain menyelesaikan masalah yang dihadapi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Penuh Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM) kedua bagi tahun 2014 di Bangunan SCORE di sini, semalam.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Yussibnosh Balo dan Wali Kota MDDM Yakub Arbi.

Sementara itu, Sikie berkata MDDM perlu menganjurkan kursus kepada para kaunselor dari semasa ke semasa agar mereka mampu menguasai bidang kuasa yang disandang.

“Mengadakan kursus dari semasa ke semasa adalah amat penting dan bagus kepada para kaunselor supaya mereka akan tahu bidang tugas mereka,” tambahnya.

Selain itu, beliau menasihati para kaunselor agar sentiasa berfikiran positif dan menjaga tingkah laku.

“Kaunselor adalah orang yang paling dekat dengan rakyat untuk melihat keadaan dan situasi yang dihadapi oleh rakyat, maka mereka perlu berfikiran positif sekiranya menghadapi sesuatu masalah.

“Oleh itu, kaunselor perlu menjaga tingkah laku mereka, bagaimanapun sebagai manusia biasa kita semestinya akan membuat kesilapan. Jika kita telah membuat kesilapan pastikan kesilapan tersebut tidak berulang, jika berulang sudah pastinya ada masalah,” katanya.

Advertisement