Anda di sini

Pejabat Konsulat China di Sabah dijangka beroperasi 2015

Advertisement

KOTA KINABALU: Melihat keperluan menubuhkan dan menempatkan Konsulat Jeneral China di Sabah, negara yang menjadi rakan kerjasama Malaysia selama 40 tahun ini akan menubuhkan pejabat konsulat China di negeri ini.

Konsulat Jeneral China di Kuching, Sarawak Liu Quan berkata, pejabat konsulat China itu dijangka mula beroperasi menjelang tahun 2015.

Majlis menandatangani perjanjian penubuhan pejabat itu telah diadakan di China ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengetuai lawatan delegasi Malaysia ke China baru-baru ini.

“Untuk itu, saya percaya sekumpulan pegawai dari China akan dihantar ke Sabah sebelum penghujung tahun ini bagi menjalankan kerja-kerja persediaan bagi penubuhan pejabat berkenaan.

“Kemungkinan majlis perasmian pejabat itu akan diadakan pada tahun hadapan,” katanya ketika ditanya mengenai perkembangan terkini cadangan penubuhan pejabat konsulat China di Sabah.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Perasmian Pameran Foto Memperingati Ulangtahun ke-40 Hubungan Diplomatik Malaysia-China, di Dewan Hakka di sini kelmarin.

Liu Quan berkata, pejabat konsulat itu akan menyediakan perkhidmatan kepada pelancong China yang berkunjung ke Sabah.

Antara fungsi pejabat itu sama seperti konsulat lain iaitu untuk melaksanakan dokumentasi bagi pengurusan visa.

Pejabat itu juga menjadi penghubung bagi masyarakat China yang berada di negeri ini untuk memastikan mereka membantu mengukuhkan hubungan baik China dan Malaysia, terutama antara Sabah dan China.

Bagaimanapun, objektif utama pejabat konsulat itu adalah untuk perniagaan.

“Kita mahu menggalakkan lebih ramai perniaga China datang ke Sabah untuk melabur dan berniaga serta mempromosikan kepada masyarakat tempatan agar berkunjung ke China. Ia adalah perniagaan dua hala,” jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Raymond Tan berkata, Kerajaan Negeri bersedia membantu konsulat China mencari tapak yang sesuai.

“Sudah tentu perkara ini akan mengambil masa. Kumpulan berkenaan yang akan membuat persediaan untuk menubuhkan pejabat itu. Diharapkan, ia boleh siap dan pejabat konsulat akan beroperasi tahun depan,” katanya.

 

 

Advertisement