Anda di sini

Muaythai bakal gegar Lundu

Advertisement

PIALA REBUTAN: Adenan (kanan) menyerahan trofi Piala Kejohanan Muaythai Sarawak Piala Ketua Menteri 2014 kepada Jumaat semalam.

32 perlawanan untuk merebut Piala Ketua Menteri 2014 pada 20 hingga 21 Jun ini

Oleh Patricia Gari //

KUCHING: Kejohanan Muaythai Sarawak Piala Ketua Menteri 2014 yang akan berlangsung pada 20 hingga 21 Jun ini bakal menyaksikan pertarungan sengit dalam 32 perlawanan termasuk persaingan ‘Super 4’.

Presiden Persatuan Muaythai Kuching (PMK) Jumaat Ibrahim berkata, pada tarikh dan lokasi sama iaitu di Dewan Sekolah Chung Hua Lundu berlangsung juga pertarungan merebut Piala PMK 2014.

“Kejohanan kali ini akan menyaksikan 28 pertarungan dengan ‘Super 4’ memungkinkan 32 perlawanan kesemuanya.

“Pemenang kejohanan ini akan membawa pulang hadiah wang tunai, pingat, piala Ketua Menteri berserta tali pinggang kejuaraan.

Manakala pemenang Kejohanan Piala PMK akan mendapat hadiah wang tunai, pingat dan Piala PMK dan pemenang kali ini bakal bertemu dengan pemenang tahun lepas dalam Kejohanan Piala Yang Dipertua Negeri Sarawak sekitar Ogos ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan piala Kejohanan Muaythai Sarawak Piala Ketua Menteri Sarawak 2014 kepada PMK di pejabat Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya dekat sini semalam.

Jumaat menambah tujuan penganjuran kejohanan itu ialah menggalakkan lagi penyertaan golongan muda menceburi sukan berkenaan yang kini sangat popular di Sarawak.

Beliau memberitahu pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2013 Sarawak berjaya memperoleh satu emas, dua perak dan satu gangsa dan pada Pertandingan Persekutuan Muaythai di Langkawi Mei lepas Sarawak turut merekodkan pencapaian sama (satu emas, dua perak dan satu gangsa).

“Ini jelas menunjukkan minat anak-anak Sarawak terhadap sukan muaythai amat mendalam.

Justeru saya mempelawa semua peminat sukan ini agar datang menyaksikan sendiri kejohanan ini kerana selain pertarungan kita juga akan melakukan beberapa kejutan dengan penampilan atlet muaythai terkenal,” katanya.

Beliau menambah kejohanan itu diadakan dengan kerjasama antara PMK, Kementerian Pembangunan Sosial, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Pejabat Daerah Lundu sempena Sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Sarawak.

Mengenai persiapan menghadapi SUKMA 2015, muaythai antara acara yang bakal dipertandingkan, Jumaat memberitahu PMK terdiri daripada ahli gabungan kini memperhebatkan kempen mencungkil bakat baharu dan pada masa sama mengasah atlet sedia ada.

“Pencapaian Sarawak setakat ini dalam sukan muaythai bagi saya adalah pencapaian yang amat tinggi terutama dalam rekod SUKMA walaupun masih muda dalam sukan ini, Sarawak berada ada ranking keempat.

“(Bagi) persiapan SUKMA 2015, PMK akan sedaya upaya mencungkil bakat baharu pada masa sama mengasah bakat sedia ada.

Saya percaya berkat usaha gigih semua pihak dan doa semua skuad muaythai kita boleh meraih lebih banyak pingat,” ujarnya.

 

Advertisement