Anda di sini

Lawatan Integrasi Komuniti rapatkan masyarakat

Advertisement

KUALA LUMPUR: Program Lawatan Integrasi Nasional dilihat mampu merapatkan lagi hubungan masyarakat Semenanjung, Sabah dan Sarawak bagi membentuk Bangsa Malaysia yang harmoni, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup.

Beliau berkata program itu merupakan inisiatif kerajaan bertujuan memupuk hubungan etnik yang harmoni dalam kalangan masyarakat negara ini yang mempunyai kepelbagaian dari segi agama, bahasa, budaya dan kaum.

“Kekuatan negara yang kaya dan maju bergantung kepada perpaduan kaum negara berkenaan.

“Sehubungan itu, perpaduan yang ingin kita bina ini hanya boleh dicapai jika setiap etnik serta penganut agama dalam negara ini saling bekerjasama antara satu sama lain, dan bukannya saling bermusuhan serta berprasangka sesama mereka,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis lawatan Integrasi Komuniti dari Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan ke Bangunan Parlimen bersempena sidang Dewan Rakyat, di sini semalam.

Sejumlah 76 orang daripada Komuniti Rakan Tetangga (KRT) Sabah, Sarawak, dan Labuan terpilih mengikuti program anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional itu. — Bernama

Advertisement