Anda di sini

Ketua jabatan JPM diingatkan tidak anjur majlis APC berasingan

Advertisement

PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa semalam mengingatkan semua ketua jabatan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) supaya tidak menganjurkan majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) secara berasingan.

Sebaliknya, beliau berkata mereka dinasihatkan untuk melaksanakan hanya satu majlis APC di peringkat JPM.

“Ini bagi memastikan penjimatan kos dapat dilaksanakan walaupun langkah penjimatan akan ditamatkan tidak lama lagi dan pada masa sama mendukung strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS),” katanya ketika berucap pada majlis APC JPM di sini semalam.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan langkah mengurangkan perbelanjaan sektor awam pada akhir tahun lepas selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengamalkan perbelanjaan berhemah pada 2014.

Langkah itu termasuk pemotongan elaun tol dan keraian bagi menteri dan timbalan menteri, pengurangan penggunaan tenaga elektrik di semua premis kerajaan serta pengurangan hidangan pada majlis rasmi.

Sementara itu, Ali berkata penglibatan semua warga JPM amat diperlukan sama ada dari atas ke bawah atau sebaliknya bagi merealisasikan pelan transformasi JPM yang sedang dirancang.

“Pelan tindakan transformasi yang sedang digubal akan dapat dilaksanakan dengan berkesan sekiranya setiap warga JPM dapat bersama-sama melaksanakan tugas di luar kebiasaan dan mencari pendekatan yang kreatif dan inovatif,” katanya. — Bernama

Advertisement