Anda di sini

Kerajaan kaji beri insentif kepada pemaju laksana sistem SPAH

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang memberi insentif khusus kepada pemaju yang melaksanakan Sistem Pengumpulan dan Penggunaan Semula Air Hujan (SPAH) dalam projek sesebuah bangunan.

Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Halimah Mohd Sadique berkata langkah itu bagi mengatasi rungutan pemaju mengenai kos tinggi bagi pemasangan SPAH di sesebuah premis.

“Ini (insentif) adalah cadangan yang baik. Saya akan membawa balik cadangan ini kepada kementerian untuk mengkaji apakah bentuk insentif yang boleh kita berikan, yang bersesuaian kepada pemaju supaya akan memasang SPAH ini,” katanya di persidangan Dewan Rakyat, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Mohd Fasiah Mohd Fakeh (BN-Sabak Bernam) yang ingin tahu langkah kerajaan bagi mengurangkan kos pemasangan SPAH serta sama ada kerajaan akan memberi insentif sewajarnya kepada pemaju yang melaksanakan SPAH.

Pelaksanaan sistem SPAH untuk menjimatkan kos air pengguna dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan pada Mac 2012 dan setakat ini hanya enam negeri iaitu Perak, Selangor, Johor, Melaka, Kelantan dan Perlis telah mewartakan sistem itu.

Halimah, yang juga Anggota Parlimen Tenggara, berkata pemasangan SPAH melibatkan peruntukan yang tinggi, antara RM2,000 hingga RM5000 disebabkan ia melibatkan pemasangan lima komponen penting.

“Lima komponen penting itu adalah kawasan permukaan untuk mengumpul air; saluran paip untuk menyalurkan air hujan daripada kawasan tadahan kepada tangki; sistem untuk menapis dan mengeluarkan bahan kotor termasuk sampah; pembinaan tangki untuk menampung air hujan; dan sistem untuk menyalurkan air hujan berkenaan,” katanya. — Bernama

Advertisement