Anda di sini

Isu buli kanak-kanak membimbangkan: MCPF

Advertisement

KUANTAN: Masalah perlakuan jenayah seperti buli dan gengsterisme dalam kalangan kanak-kanak dan remaja semakin membimbangkan dan menunjukkan peningkatan ketara, kata Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye.

Katanya statistik Polis Diraja Malaysia menunjukkan bagi tempoh Januari hingga April lalu sebanyak 2,962 kes jenayah melibatkan kanak-kanak dilapor berbanding 2,089 bagi tempoh sama tahun lepas, iaitu peningkatan 41.7 peratus.

“Tahun lepas, indeks jenayah menunjukkan 7,816 kes melibatkan golongan juvenil berbanding 3,700 kes pada 2012,” katanya kepada pemberita selepas menutup program Kem Motivasi UPSR Pahang untuk anak-anak angkat Yayasan SP Setia di sini semalam.

Katanya ada kes membabitkan kanak-kanak semuda 12 tahun.

Keadaan ini membimbangkan kerana akan merosakkan masa depan mereka, katanya yang turut menggesa ibu bapa agar lebih prihatin dan berusaha menyemai nilai-nilai murni dalam kalangan anak-anak mereka.

Lee berkata MCPF akan terus mempromosi kelab antijenayah di sekolah-sekolah di seluruh negara sebagai langkah jangka panjang dalam membanteras jenayah dalam kalangan pelajar.

Kini terdapat kira-kira 5,000 kelab antijenayah di sekolah yang menjalankan pelbagai aktiviti termasuk kursus kesedaran, katanya.

Dalam pada itu Lee yang juga Pengerusi Yayasan SP Setia berkata yayasan berkenaan telah membelanjakan kira-kira RM20.6 juta bagi membiayai persekolahan 10,000 anak angkat sejak program tersebut diwujudkan pada 2000. — Bernama

Advertisement