Anda di sini

Iran juara futsal ‘Brazuca World Cup’

Advertisement

MUKAH: Pasukan Iran juara kejohanan Futsal Challenge ‘Brazuca World Cup’ peringkat bahagian Mukah anjuran Pertubuhan Belia Parlimen Mukah (PBPM) dengan kerjasama Kelab Futsal Daerah Dalat (KFDD).

Pasukan Iran berjaya membawa pulang wang tunai RM800, replika trofi Piala Dunia dan medal, manakala pasukan Hoduras menyandang kedudukan naib juara dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM600 dan medal.

Pengerusi Penganjur Royston Valentine berkata, tujuan penganjuran kejohanan tersebut adalah untuk memastikan kesinambungan pertandingan futsal di Daerah Dalat sekali gus memeriahkan suasana menjelang Piala Dunia 2014.

Selain itu, Royston berkata penganjuran itu juga adalah untuk menyediakan platform kepada para pemain di sekitar bahagian Mukah mengasah bakat dan menonjolkan diri dalam sukan futsal untuk melangkah ke peringkat yang lebih tinggi.

“Kita mahu memberi pendedahan kepada penggemar sukan futsal di bahagian ini melalui penganjuran yang kita adakan seperti ini selain untuk memberi pengalaman kepada mereka.

“Selain itu, ia juga mampu menggalak masyarakat terutama belia remaja mengamalkan gaya hidup cergas dan sihat di samping mengisi masa terluang di hujung minggu,” katanya yang juga merupakan Timbalan Pengerusi PBPM.

Kejohanan tersebut disertai oleh 32 pasukan di sekitar kawasan bahagian Mukah dan Sibu.

Pasukan Brazil berjaya menyandang tempat ketiga dan membawa pulang wang tunai RM400 dan medal dan pasukan Netherlands mendapat tempat keempat membawa pulang wang tunai RM200 dan medal sekali gus mendapat anugerah pasukan Fairplay.

Selain itu, Vanerdick Jainol dari pasukan Iran dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan.

Difahamkan, nama pasukan dalam kejohanan tersebut adalah berdasarkan nama pasukan yang bermain di Piala Dunia 2014 yang ditentukan melalui cabutan undi.

Majlis penyampaian hadiah telah disampaikan oleh Penolong Pegawai Belia dan Sukan Mukah Hnif Norhan.

Turut hadir Pengerusi Kelab Futsal Daerah Dalat, Daniel Francis Klumai.

 

Advertisement