Anda di sini

Sukan mampu eratkan ikatan persahabatan

Advertisement

MIRI: Persahabatan adalah sesuatu yang tidak ternilai dalam sesebuah acara atau sukan dianjurkan, malah tidak terdapat dalam buku matapelajaran.

Patron bagi Kejohanan Terbuka Junior Kelab Golf Miri (KGM) Ke-10 Datuk Sebastian Ting berkata, walaupun kemenangan adalah objektif utama tetapi ia kerap menjanjikan sesuatu yang lebih daripada itu.

“Tidak dapat dinafikan kemenangan adalah tujuan utama mengikuti kejohanan, namun sebenarnya banyak yang kita dapat pelajari daripada, salah satunya adalah nilai persahabatan,” katanya pada Majlis Makan Malam kejohanan berkenaan pada malam Isnin lalu.

Sudah terbukti katanya persahabatan yang terjalin ketika bersukan adalah sesuatu amat menguntungkan kedua-dua pihak terlibat.

“Bukan sahaja mendapat rakan atau sahabat di sekitar Miri, namun turut menjangkau sempadan negara,” jelasnya sambil memberitahu ada peserta kejohanan daripada Brunei, Kuala Lumpur, Kuching dan beberapa lagi tempat.

Sebelumnya, pengerusi penganjur Jeremy Ting yang turut berucap memberitahu beliau mengharapkan ada peserta junior yang bakal menyinar sekali gus mengharumkan nama Sarawak dalam SUKMA 2016 nanti ketika menjadi tuan rumah temasya sukan terbesar Malaysia itu.

“Sudah beberapa orang yang telah menyinar dan mengharumkan negeri dan ada juga yang malah menyinar dalam arena antarabangsa,” jelasnya.

Kali ini, Kejohanan Terbuka Junior KGM atau turut dikenali sebagai Kejohanan Trofi Datuk Sebastian Ting menyaksikan 105 pemain golf cilik berumur 18 tahun dan ke bawah berentap dalam beberapa kategori.

Kejohanan yang dimulakan sejak tahun 1999 itu kali ini bakal turut menyerahkan sumbangan ikhlas daripada pemain kepada Persatuan Autisme Miri.

Pemenang keseluruhan bagi kejohanan adalah Sizairi Iqmah Rahim daripada Persatuan Golf Sabah (SGC).

Advertisement