Anda di sini

Raja Permaisuri minta anggota Pandu Puteri jaga nama negara

Advertisement

PUTRAJAYA: Raja Permaisuri Agong Tuanku Haminah menitahkan anggota Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) agar sentiasa memelihara nama baik dan maruah negara.

Titah baginda walau apa juga bidang sama ada reka cipta, inovasi, kebudayaan, kesenian dan sebagainya yang mereka sertai untuk mewakili negara, hendaklah dilakukan dengan semangat juang yang tinggi.

“Dalam hubungan ini, beta sentiasa memberi galakan dan sokongan untuk mendorong anggota-anggota mencapai kecemerlangan sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Bersatu padu dan bekerjasama rapat demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara hendaklah sentiasa diamalkan,” titah Tuanku Hajah Haminah sebelum berkenan merasmikan Majlis Mesyuarat Agung Tahunan PPPM di sini semalam.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perak yang juga Timbalan yang Dipertua PPPM Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah.

Tuanku Haminah juga mengingatkan anggota PPPM agar mengekalkan resepi kejayaan ditambah dengan amalan berbaik sangka, saling menghormati serta bekerjasama antara anggota yang berbagai kaum dan agama.

Titah baginda resepi kejayaan PPPM ialah gabungan semangat sukarelawan yang tinggi, pengetahuan yang luas dan sifat terpuji yang diamalkan oleh setiap anggota.

“Sesungguhnya nilai murni ini menjadi tanggungjawab semua anggota persatuan ini untuk turut sama menyemai nilai murni dalam kalangan masyarakat,” titah baginda.

Raja Permaisuri Agong juga menyambut baik usaha untuk memperluaskan akses pendidikan PPPM dalam kokurikulum prasekolah sehingga ke peringkat institusi pengajian tinggi negara.

Tuanku Haminah turut menzahirkan ucapan tahniah kepada semua penerima anugerah, sijil dan lencana semalam. — Bernama

Advertisement