Anda di sini

Polis kenal pasti sindiket judi bola sepak Piala Dunia

Advertisement

BERUAS: Polis telah mengenal pasti sindiket perjudian yang melibatkan pertaruhan Piala Dunia FIFA 2014 yang bermula Jumaat ini, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Hadi Ho Abdullah.

Beliau berkata risikan berhubung perjudian bola sepak itu dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman.

“Kita ada cara untuk mengesan sindiket berkenaan. Kita sudah ada maklumat risikan sama ada sindiket itu dari luar negara atau tempatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Balai Polis Beruas bernilai RM4.4 juta di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam mengenai kerjasama Kementerian Dalam Negeri dengan Polis Antarabangsa (Interpol) dan Persekutuan Badan Induk Bola Sepak Dunia (FIFA) bagi memantau kegiatan perjudian semasa berlangsungnya Piala Dunia.

Katanya polis juga akan bekerjasama dengan unit forensik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta syarikat telekomunikasi untuk menangani kegiatan perjudian dalam talian.

Beliau memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang terbabit dalam kegiatan perjudian itu.

“Sekiranya mendapat maklumat, kita akan terus ambil tindakan kerana kita tidak mahu kegiatan tersebut berleluasa di negara ini,” katanya.

Kejohanan Piala Dunia kali ini akan berlangsung di Brazil mulai 13 Jun hingga 14 Julai ini. — Bernama

Advertisement