Anda di sini

Peruntukan anggaran perbelanjaan tambahan tidak jejas defisit fiskal

Advertisement

KUALA LUMPUR: Peruntukan Anggaran Perbelanjaan Mengurus Tambahan Pertama 2014 bernilai RM4.612 bilion tidak akan menjejaskan defisit fiskal 3.5 peratus negara yang ditetapkan bagi tahun ini, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata jumlah itu termasuk tambahan peruntukan bagi subsidi, emolumen dan beberapa keperluan mendesak lain.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2014) 2014 bagi memohon perbelanjaan tambahan untuk perkhidmatan bagi bacaan kali kedua di persidangan Dewan Rakyat di sini semalam.

Daripada jumlah RM4.612 bilion, sebanyak RM4.112 bilion ialah untuk membiayai Perbelanjaan Bekalan yang termasuk dalam Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2014) 2014, dan bakinya sebanyak RM500 juta bagi tambahan Perbelanjaan Tanggungan, katanya.

“Tambahan peruntukan ini diperlukan untuk menampung perbelanjaan mendesak iaitu subsidi (RM1,000 juta), keperluan emolumen (RM2,093 juta), pencen, elaun bersara, rawatan pesara awam dan angkatan tentera (RM797 juta), dan RM722 juta bagi keperluan lain, antaranya penyelenggaran kos operasi dan utiliti,” jelas beliau.

Daripada tambahan peruntukan sebanyak RM4.112 bilion, Ahmad Maslan menjelaskan RM3.082 bilion akan melibatkan sebahagian besar untuk pembayaran tuntutan subsidi bahan api tahun ini, serta menampung kekurangan peruntukan emolumen yang didahulukan bagi pembayaran imbuhan tahunan kakitangan awam tahun lepas, yang dibayar pada Januari.

“Sebanyak RM634.1 bilion pula untuk menampung kos pembayaran konsesi bagi enam buah kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan keperluan tambahan bagi menampung kenaikan harga kontrak susulan daripada pelaksanaan Perintah Gaji Minimum.

“Ia juga untuk pertambahan kuantiti kontrak bagi perkhidmatan pembersihan kawasan dan kawalan keselamatan. Sebanyak RM208.9 juta diperuntukan untuk keperluan pembayaran bonus kepada kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri,” katanya.

Ahmad Maslan berkata sebanyak RM88 juta adalah untuk menampung pembayaran rawatan pesara awam Persekutuan dan Angkatan Tentera Malaysia, dan RM72.2 juta untuk perbelanjaan melaksanakan program jaminan bekalan dan pengedaran agromakanan bagi menangani kesan kenaikan harga barang. — Bernama

Advertisement