Anda di sini

Pendapatan KWSP lebihi sasaran

Advertisement

Hasil amalan tadbir urus tinggi pelbagai pelaburan capai kejayaan: PAC

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), mengamalkan tadbir urus korporat yang tinggi dan berjaya memperoleh pendapatan melebihi sasaran hasil pelbagai pelaburan dalam dan luar negara.

Menyatakan demikian, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, pada suku pertama tahun ini KWSP mencatatkan pendapatan kasar sebanyak RM8.834 bilion meningkat 58 peratus berbanding RM5.604 bilion pada suku pertama tahun lalu.

Katanya, pendapatan itu diperolehi hasil keuntungan daripada pelbagai bentuk pelaburan KWSP dalam bidang hartanah, ekuiti dan bon termasuk di luar negara.

“Jadi ini menunjukkan prestasi KWSP memang hebat kerana melebihi daripada apa yang dijangkakan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat PAC bersama KWSP di bangunan Parlimen di sini semalam.

Mesyuarat itu bagi mendapatkan penjelasan KWSP berkenaan pengurusan syarikat dan pelaburan terutama berkaitan bidang hartanah di luar negara.

Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 1 yang dibentangkan di Parlimen April lalu menyatakan prestasi pelaburan hartanah KWSP pada 2013 baik dan memperoleh pendapatan pela-buran melebihi sasaran.

Namun, Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang meminta KWSP memberi penjelasan kepada PAC mengenai pelaburan antarabangsa mereka yang meningkat dan perancangan yang dilaksana institusi keselamatan sosial negara itu bagi mengurangkan risiko dalam pelaburan.

Nur Jazlan berkata, Laporan Ketua Audit Negara memberikan penilaian yang baik terhadap KWSP dan hari ini (semalam) KWSP tidak diminta menjelaskan sebarang kesalahan atau kesilapan dalam pentabiran dan pelaburannya.

Katanya, KWSP telah menjelaskan tentang pelabu-ran di luar negara sebagai usaha mereka mempelbagai pelaburan dan tidak hanya bergantung kepada pasaran Malaysia.

“Jadi pada hari ini (semalam) PAC amat berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh KWSP dan ia juga merupakan salah satu ‘success story’ atau kejayaan badan yang dikawal selia kerajaan yang patut dicontohi agensi dan kementerian lain,” katanya.

Sehingga kini pelaburan KWSP dalam negara berjumlah RM468.36 bilion sementara di luar negara RM118.3 bilion. — Bernama

Advertisement