Anda di sini

Najib pulang ke tanah air selepas lawat Turkmenistan

Advertisement

ASHGABAT, Turkmenistan: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berlepas pulang ke tanah air Selasa malam selepas menamatkan lawatan rasmi dua hari ke Turkmenistan.

Pesawat khas yang membawa Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Ashgabat menuju ke Kuala Lumpur.

Semasa lawatan rasmi kedua beliau ke negara Asia Tengah ini, Najib menandatangani satu kenyataan bersama dengan Presiden Turkmenistan Gurbanguly Berdimuhamedov.

Mereka kemudian menyaksikan majlis menandatangani empat dokumen iaitu Perjanjian Kerjasama Kebudayaan antara Malaysia dan Turkmenistan; Minit yang Telah Dipersetujui berhubung Terma Rujukan bagi Jawatankuasa Bersama Perdagangan antara Malaysia dan Turkmenistan; Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan kerjasama pendidikan; dan MoU berkaitan kerjasama jangka panjang antara Petronas dan the State Agency in Charge of Hydrocarbon.

Perdana menteri berkata pertemuan beliau dan Berdimuhamedov berlangsung dalam suasana mesra dan membuahkan hasil serta mereka berkongsi sentimen sama berkaitan pelbagai isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata Malaysia berminat untuk meneroka bidang kerjasama baharu di Turkmenistan seperti sektor produk halal, perbankan Islam, perlombongan, pembinaan, kimia, pelancongan dan komunikasi.

Beliau turut melahirkan penghargaan kepada Berdimuhamedov kerana membenarkan Petronas memainkan peranan lebih besar dalam sektor minyak dan gas di Turkmenistan.

Najib mengadakan lawatan rasmi pertama ke Turkmenistan pada 2011.

Malaysia dan Turkmenistan menikmati hubungan rapat dan mesra selepas mewujudkan hubungan diplomatik pada tahun 1992.

Turkmenistan ialah rakan dagang Malaysia yang ketiga terbesar di rantau Asia Tengah. — Bernama

Advertisement