Anda di sini

El-Nino: Selangor tak cadang laksana semula catuan air

Advertisement

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor tidak bercadang melaksanakan semula pelan catuan air di negeri itu walaupun berkemungkinan menghadapi musim kering akibat fenomena El-Nino sekarang, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata pihaknya telah membuat persiapan dan perancangan rapi bagi memastikan bekalan air mentah di kesemua empangan utama mencukupi sepanjang musim kering yang dijangka berlarutan selama tiga bulan akan datang.

“Kita diberitahu Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Unit Perancang Ekonomi Selangor bahawa kerja mengepam air dari bekas lombong atau kolam sekitar Lembangan Sungai Selangor ke Sungai Selangor diteruskan untuk meng-atasi masalah kekurangan air,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini semalam.

Beliau berkata terdapat 20 pam di sembilan buah kolam bekas lombong yang mampu mengepam jumlah air mentah seba-nyak 800 juta liter sehari (JLH) untuk menampung pengeluaran air mentah dari Sungai Tinggi dan Sungai Selangor.

“Dengan perancangan ini, pengeluaran air mentah dari Sungai Selangor dapat diminimumkan bagi membolehkan bekalan air terawat di Loji Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 disalurkan seperti biasa,” katanya.

Abdul Khalid berkata sehingga kini, pihaknya menjalankan 37 operasi pembenihan awan sepanjang musim kering ini.

Usaha ini melibatkan kepakaran wakil ‘Bureau of Royal Rainmaking And Agricultural Aviation of Thailand’ untuk meningkatkan jumlah kapasiti air di kesemua empangan.

Katanya, walaupun kadar hujan yang diterima di kawasan empangan adalah sedikit, namun menerusi kerjasama biro tersebut, ia telah me-ningkatkan keberkesanan kadar hujan diterima.

Abdul Khalid juga berkata pensampelan kualiti air kolam-kolam bekas lombong akan diteruskan dengan lebih kerap bagi memastikan air mentah mematuhi piawaian ditetapkan Kementerian Kesihatan. — Bernama

Advertisement