Anda di sini

ATM komited tangani aktiviti penyeludupan di sempadan

Advertisement

KOTA BAHARU: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus komited mengekang kegiatan jenayah di kawasan sempadan Malaysia-Thailand khususnya membabitkan aktiviti penyeludupan.

Panglima Dua Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohd Shukuri Ahmad berkata pihaknya memandang serius aktiviti penyeludupan di sempadan kerana ia merugikan semua pihak.

“Kita tahu kegiatan jenayah di sempadan sering berlaku khususnya aktiviti penyeludupan bahan bakar iaitu petrol dan diesel.

“Selain itu, terdapat juga aktiviti penyeludupan senjata api dan juga dadah, oleh itu kita sentiasa mengadakan kerjasama dengan semua pihak untuk membendung kegiatan ini,” katanya.

Mohd Shukuri bercakap kepada pemberita selepas majlis Perbarisan Serah Terima Tugas Panglima 8 Briged di Kem Lapan Briged Infantri, Pengkalan Chepa di sini, semalam.

Pada majlis tersebut, bakas Penasihat Pertahanan Malaysia di Bangkok, Thailand Brig Jeneral Datuk Azmy Yahya dilantik sebagai Panglima 8 Briged yang baharu menggantikan Brig Jeneral Datuk Zaki Hamzah yang bersara.

Mohd Shukuri berkata ATM turut mengadakan kerjasama dengan pihak ketenteraan dari Thailand khusus untuk membendung kegiatan jenayah di sempadan.

Beliau juga berkata pihaknya menyokong penuh usaha kerajaan untuk membina pagar keselamatan di sepanjang Sungai Golok di Kelantan bagi membendung penyeludupan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan mengenai pembinaan pagar itu baru-baru ini. — Bernama

Advertisement