Anda di sini

Agustus nekad pertahan minuman tradisi masyarakat Dayak

Advertisement

Oleh Henrietta Liza //

PROMOSI: Agustus mempromosi tuak sebagai minuman tradisi masyarakat Dayak di Sarawak ketika berada di luar negara.

‘TUAK’ sejenis minuman tradisi masyarakat Dayak di Sarawak begitu popular terutama sekali kerana ia menjadi hidangan wajib untuk mengalu-alukan tetamu semasa sambutan Hari Gawai Dayak iaitu pesta selepas menuai padi.

Begitupun, tidak ramai generasi muda hari ini mempunyai kemahiran membuat tuak akibat kurang berminat atau beranggapan ia tradisi kuno.

Tetapi lain ceritanya dengan anak watan Bumi Kenyalang, Agustus Sapen, berbangsa Bidayuh dari Miri yang nekad meneruskan tradisi nenek moyangnya dalam penghasilan tuak.

Beliau yang ditemui baru-baru ini berkata tuak baik kerana ia satu lambang identiti tradisi kaum Dayak dan keburukannya apabila ia disalahgunakan untuk tujuan mabuk dan sekali gus memberi persepsi negatif kepada orang ramai.

“Tetapi ramai yang tidak tahu proses penapaian juga ada kebaikannya kerana di dalam tuak terdapat banyak mikro-organisme yang bagus untuk sistem penghadaman seperti minuman dadih susu.

“Akan tetapi belum ada kajian dibuat secara terperinci mengenai isi kandungan tuak dan nutrisinya dan diharap mana-mana agensi dan badan yang berminat akan menjalakan kajian tersebut dengan segera,” kata Agustus.

Menurutnya lagi, tuak bukan arak yang memudaratkan dan biasanya dibuat daripada sejenis beras yang dipanggal ‘beras pulut’ (beras ketan).

“Beras tersebut akan direndam dengan air di dalam tempayan yang dikenali sebagai ‘tajau’ mengambil masa sekurang-kurangnya dua minggu ke atas.

“Beras tersebut turut menghasilkan ‘tapai’ yang boleh dimakan dan kadang kala dicampur dengan gula pasir untuk memberikan rasa yang lebih manis,” jelasnya.

Mengikut norma kebiasaan, tuak akan dihidangkan pada perayaan tertentu seperti Hari Gawai Dayak yang disambut di seluruh Sarawak pada 1 Jun setiap tahun.

RESIPI TUAK: Bahan-bahan digunakan untuk membuat tuak.

Selain itu, menurut pengamatan orang tua, tuak juga boleh diperbuat daripada buah epal, nanas, ubi kayu, anggur (bukan tradisional – bergantung kepada kreativiti masing-masing).

Di Sabah, tuak dihasilkan daripada ubi kayu. Metodologinya senang, asalkan bahan yang digunakan untuk membuat tuak mempunyai kanji maka ia akan bertukar kepada gula dan seterusnya kepada alkohol.

Berbeza dengan nanas, tebu dan epal yang walaupun tidak mempunyai kanji tetapi kandungan gula di dalam buah itu sendiri boleh menghasilkan alkohol, jelasnya lagi.

Negara-negara seperti Rusia mempunyai Vodka sebagai minuman tradisional mereka, begitu juga dengan Sake di Jepun, Makgeolli di Korea dan Sato di Thailand Agustus berkata sekiranya tuak pupus, adat dan tradisi Dayak tidak akan dikenali lagi, justeru jika kita mahu berbangga dengan budaya kita sendiri maka tradisi penghasilan tuak ini perlu dipertahankan.

Pertandingan membuat tuak akan menggalakkan orang untuk membuat kajian, bertanya dengan orang tua atau membaca daripada pelbagai sumber untuk menghasilkan tuak yang lebih berkualiti.

Agustus menjelaskan rasa tuak adalah manis seperti kuih tapai tetapi mempunyai kandungan alkohol di antara 0.01 untuk tempoh dua minggu sehingga 10 peratus bergantung kepada berapa lama proses penapaian tersebut.

Beliau mengaku agak kaku pada kali pertama membuat tuak tetapi berdasarkan pengamatan dan kajian yang telah dijalankannya sebelum itu telah membawa kepada hasil yang bagus.

Menurut Agustus, proses membuat tapai juga memerlukan pembuatnya tidak melanggar petua orang lama seperti tidak boleh bercakap semasa membuatnya atau tuak tidak boleh diletakkan berhampiran dengan buah atau makanan berunsur masam agar ekologi bakterianya tidak terganggu.

Dalam dua minggu tuak sudah boleh diminum tetapi jika mahu lebih berkualiti dan jernih dalam dua atau tiga bulan sudah boleh menghasilkan tuak yang menyerupai warna teh limau ais dengan kandungan alkohol sebanyak 15 hingga 18 peratus.

Setakat ini Agustus sudah berpengalaman lebih dua tahun dalam pembuatan tuak dan beliau telah mempromosikannya di luar negara seperti di Britain dan Paris.

Advertisement