Anda di sini

95 pemain golf Sarawak, Sabah sertai cabaran Golf Amatur Terbuka Sibu

Advertisement

SIBU: Seramai 95 pemain golf dari seluruh Sarawak dan Sabah bakal berentap di Kejohanan Golf Amatur Terbuka Sibu ke-15 (SAOGC) yang akan diadakan di Kelab Golf Sibu (SGC) pada 13-15 Jun.

Antara yang telah mengesahkan penyertaan adalah juara bertahan, Lau Chin Leong dan juara sembilan kali, Lee Ka Tung yang akan mewakili SGC.

Menurut Presiden SGC Datuk Dr Soon Choon Teck, pertandingan tiga hari itu akan bermula Jumaat ini dan ia merupakan acara terbesar dalam kalendar golf Sibu dengan menawarkan Piala Pusingan Datuk Patinggi Tan Sri Dr Wong Soon Kai.

Ia mula diperkenalkan pada tahun 1999 dan diiktiraf oleh Persatuan Golf Sarawak (SGA).

Beliau berkata pemain-pemain yang bakal beraksi terdiri daripada ahli-ahli SGC, Miri Golf Club, Bintulu Golf Club, Kelab Golf Sarawak, Samarahan Country Club, Sarawak Junior Golf Association dan Kelab Golf Sabah.

Sementara itu, pengerusi jawatankuasa penganjur kejohanan Winston Lau Chu Ku berkata SGC menawarkan cabaran yang menarik dan akan menguji setiap peserta.

“Daripada 18 lubang yang kita ada di padang ini, terdapat tidak kurang daripada 15 daripada mereka mempunyai rintangan yang mesti diharungi oleh para peserta,” kata Lau yang juga ketua pasukan SGC.

Beliau menambah sejak 1999, SAOGC telah dimenangi oleh hanya lima pemain dan kejohanan ini dibahagikan kepada beberapa kategori termasuk untuk peserta lelaki dan wanita.

Pusingan akhir pertandingan dijangka tamat pada Ahad ini dan akan diikuti dengan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang.

Penyerahan piala pusingan Datuk Patinggi Tan Sri Dr Wong Soon Kai telah diadakan di SGC semalam dan turut disaksikan oleh Presiden SGA, Hoan Kee Hock yang berpuas hati dengan sambutan yang menggalakkan.

Menurut beliau, penganjuran SAOGC adalah baik khususnya bagi pembangunan sukan golf di Sibu kerana ia menyediakan padang yang baik untuk peserta golf tempatan bersaing dengan pemain terbaik dari seluruh Sarawak dan juga Sabah.

Advertisement