GUA MUSANG: Sebanyak 11,000 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dibenar pulang awal untuk menyambung pengajian pada 31 Mei lalu, tidak perlu kembali untuk meneruskan latihan itu.
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata mereka bukan sahaja diberi pelepasan tetapi juga sijil menyertai latihan PLKN.
“Ini menunjukan PLKN di negara kita lebih mengutamakan pelajaran berbanding kem latihan serupa yang diadakan di negara lain yang lebih pentingkan latihan,” katanya selepas melawat sekumpulan pelatih PLKN menderma darah di Kem Etnobotani di sini, semalam.
Abdul Hadi berkata kum-pulan pelatih terbabit sepatutnya tamat latihan dan dibenar pulang pada 26 Jun ini tetapi diberi pelepasan awal untuk memudahkan mereka membuat persiapan menyambung pengajian.
Sementara itu, beliau menyifatkan sikap terbuka pelatih PLKN di seluruh negara untuk menderma darah bagi mengisi tabung darah di mana-mana hospital patut dipuji kerana tindakan mereka adalah secara sukarela.
Katanya setiap tahun kira-kira 24,300 pelatih dari 80 kem PLKN di seluruh negara menderma darah.
“Kita juga tidak pernah memaksa mana-mana pelatih supaya menderma darah, tetapi mereka yang tampil untuk berbuat demikian dan kita manganggap aktiviti menderma darah itu penting diadakan setiap tahun.
“Pelatih yang menderma darah itu menunjukan tauladan baik kepada masyarakat bahawa mereka adalah golo-ngan yang sanggup membantu untuk menyelamatkan nyawa manusia ketika memerlukan darah,” katanya. — Bernama