Anda di sini

Warga emas dipercayai kurang siuman maut dilanggar lari

Advertisement

KUANTAN: Seorang warga emas yang dipercayai pesakit mental maut dalam kejadian langgar lari semasa melintas jalan di Km 62 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur dekat Maran pagi kelmarin.

M. Krishna, 60, yang tidak bekerja dan beralamat di Kampung Sri Jaya, Maran mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialami, kata Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim.

Dalam kejadian jam 5.36 pagi itu mangsa dilapor berjalan kaki sendirian dari rumahnya menuju ke destinasi yang tidak diketahui dan dipercayai dilanggar oleh sebuah kenderaan ketika mahu melintas jalan, katanya di sini semalam.

Menurutnya siasatan awal juga mendapati mangsa turut digilis oleh beberapa kenderaan lain selepas itu berdasarkan keadaan mayat ketika ditemui oleh orang awam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. — Bernama

Advertisement