Anda di sini

SUKMA: Sarawak masih kekal kuasa tenpin boling

Advertisement

KUCHING: Penyertaan pada kejohanan pendedahan menjadi kunci kepada kejayaan cemerlang skuad tenpin boling Sarawak pada SUKMA XVII Perlis lalu.

Pengurus Pasukan, Robert Lu berkata penyertaan pada kejohanan antarabangsa seperti di Filipina dan Singapura termasuk kejohanan peringkat kebangsaan seperti Terbuka Malaysia telah membantu memantapkan persediaan pemain Sarawak.

“Kita telah bekerja keras dan membuat persediaan awal dengan menghantar pemain menyertai kejohanan di dalam dan luar negara sebelum ke SUKMA.

“Secara keseluruhan, pencapaian kita pada temasya kali ini sangat cemerlang dan prestasi pemain juga sangat memuaskan,” katanya di sini semalam.

Lu menambah, kejayaan meraih enam emas, lima perak dan dua gangsa membuktikan Sarawak masih kekal kuasa dalam sukan tenpin boling di negara ini.

“Kita hanya menyasarkan dua pingat emas memandangkan ramai pemain yang dihantar kali ini masih muda dan belum berpengalaman.

Namun, mereka berjaya membuktikan dengan menghadiahkan pingat untuk kita,” ujarnya.

Lu yang juga Naib Pres iden Persatuan Tenpin Boling Amatur Sarawak (ABAS) merakamkan terima kasih kepada Ketua Jurulatih, Jackson Ting yang telah bertungkus-lumus membantu membentuk semula skuad boling Sarawak.

Katanya, bantuan jurulatih teknikal dari Australia, Paul Robert Delany juga antara faktor yang menyumbang kepada kejayaan Sarawak kali ini.

Tambahnya, kejayaan Sarawak tidak akan tercapai tanpa dedikasi serta komitmen dari para atlet, Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) dan ibu bapa para atlet.

“Kita tidak bimbang dengan ketiadaan beberapa pemain pada SUKMA 2016.

Ini kerana, program pembangunan atlet kita berjaya melahirkan ramai atlet baharu yang berpotensi untuk mewakili Sarawak nanti,” katanya.

Sarawak kehilangan empat atlet terlebih umur iaitu Jonathan Ding Sangan, Daniel Tan Yan Han, Jocelyna Judith Jonathan dan Jackelyn Ng Shuk Chuen.

Daniel menggondol tiga emas untuk membantu Sarawak muncul juara keseluruhan pada edisi ke-17 itu.

 

Advertisement