Anda di sini

SBBA cipta sejarah, ungguli Mr Malaysia

Advertisement

LAKAR SEJARAH: Pasukan Bina Badan Sarawak melakar sejarah pada kejohanan bina badan kebangsaan di Kuala Lumpur.

KUCHING: Persatuan Bina Badan Sarawak (SBBA) melakar sejarah baharu setelah merangkul juara keseluruhan pada Kejohanan Bina Badan Mr Malaysia di Kompleks Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Putrajaya pada Ahad lalu.

Sarawak berjaya mengatasi kuasa tradisi sukan bina badan Polis dan Kuala Lumpur setelah peserta mereka memenangi empat pingat emas daripada 10 acara yang disertai.

Selain muncul juara keseluruhan, Sarawak turut dianugerahkan ‘Champion of Champions’ dan ‘Best Poser’ menerusi Malvern Abdullah.

Sementara pingat emas dirangkul oleh Densi Runya dalam acara bantam weight (60.1 – 65kg), Malvern (light weight, 65.1 – 70kg) dan Eddie Chan dari Miri dalam acara heavy weight (90kg ke atas).

Nolan Chee Chean Sze (masters), Wilfred Harding Jiee (bantam weight), Awang Mohd Azizul (light middleweight), Jeremiah Rukong (middle weight) dan Donny Fam (light heavy weight) memenangi tempat keempat dalam kategori masing-masing.

Turut serta Mohamad Sani Sanawi dari Sri Aman yang bertarung dalam acara welter weight (70.1 – 75kg).

Presiden SBBA, Datuk Wee Hong Seng berkata kejayaan skuad bina badan dalam kejohanan tersebut merupakan pencapaian yang cukup cemerlang buat Sarawak.

“Ini adalah pencapaian yang cukup bersejarah bagi kita.

Sejak SBBA ditubuhkan pada 1963, ini adalah kali pertama kita memenangi gelaran ‘Team Malaysia’ dan ‘Champion of the Champions’.

Ia kejayaan yang cukup cemerlang,” katanya.

Wee berkata, Sarawak hampir muncul juara keseluruhan pada 2011 sebelum dipintas Polis.

Katanya, impian membawa sukan bina badan Sarawak ke peringkat lebih tinggi sejak mengambil alih tugas selaku presiden pada 2009 telah tercapai dengan kejayaan menjuarai Mr Malaysia tahun ini.

“Saya begitu teruja apabila melihat semakin ramai yang turut serta dalam sukan ini dan ramai di kalangan mereka mendapat bantuan dari pusat gimnasium di Kuching, Sibu dan Miri,” tambahnya.

Menurutnya, kira-kira 65 peratus peserta Mr Kuching pada 2014 dan 45 peratus jawatankuasa SBBA juga merupakan muka baharu.

“Pengurus pasukan dan kebanyakan peserta termasuk hakim Mr Malaysia pada tahun ini adalah muka baharu.

Kita juga berharap untuk melahirkan dan melatih lebih ramai hakim untuk Sarawak,” katanya.

Wee juga merakamkan terima kasih terhadap Kementerian Pembangunan Sosial (KPS) dan menterinya, Tan Sri William Mawan Ikom yang banyak memberi sokongan kepada SBBA selama ini.

“Saya berharap kerajaan negeri akan memberi lebih banyak dana kepada kita bagi tujuan mengenal pasti dan melatih bakat-bakat baharu yang dapat mewakili Sarawak pada SUKMA dan kejohanan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa,” ujarnya.

Beliau juga mengambil kesempatan merakamkan penghargaan kepada pusat-pusat gimnasium yang sudi membantu atlet Sarawak.

“Kita bercadang untuk menganjurkan Mr Malaysia pada 2016 dan berharap untuk mendapatkan penajaan untuk menganjur kejohanan tersebut.

“Kita terpaksa memberi laluan kepada Labuan menjadi penganjur Mr Malaysia pada tahun depan kerana masalah kewangan,” katanya.

Lebih 100 peserta dari seluruh negeri termasuk Polis dan Wilayah Persekutuan mengambil bahagian pada edisi kali ini.

 

Advertisement